Karnival bantu perkhidmatan ambulans percuma

14 Sep 2025 • 11:10 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menyatakan sokongan terhadap penganjuran Karnival Muzik dan Tarian Budaya: Kembali ke Sekolah anjuran Persatuan Perkhidmatan Ambulan Lions Kota Kinabalu (Lass KK) bagi tujuan kebajikan.

Menterinya Datuk Seri Christina Liew berkata karnival itu bertujuan membantu sebuah pertubuhan sukarela yang menyediakan perkhidmatan ambulans percuma, 24 jam sehari kepada pesakit di sekitar Kota Kinabalu.

“Saya difahamkan sepanjang 15 tahun lalu pertubuhan ini telah menyelamatkan lebih 10,000 nyawa dan menyokong banyak keluarga ketika berdepan kecemasan.

“KePKAS akan membuat sumbangan kepada karnival ini sebagai pengiktirafan terhadap usaha mengumpul dana bagi misi murni Lass KK.

“Saya menyeru dermawan dan orang ramai supaya menyokong penganjuran karnival ini demi tujuan kebajikan,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi pertubuhan itu yang diketuai Pengerusinya Thomas Ting Shu Kiong pada Rabu lalu.

Ting yang juga Bekas Presiden Kelab Lions KK Lintas berkata Lass KK ditubuhkan oleh ahli-ahli Kelab Lions Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya sebelum didaftarkan secara rasmi pada 2010.

Sementara itu Bekas Gabenor Daerah (Daerah 308-A2) Karen Koh dari Kelab Lions Tanjung Aru dalam taklimatnya kepada menteri berkata Lass KK menyasarkan kutipan RM300,000 melalui jualan tiket karnival serta sumbangan daripada dermawan, sektor korporat dan penyokong lain.

“Kami mengendalikan empat ambulans dengan kos operasi tahunan sebanyak RM300,000 selain turut mempunyai pasukan petugas berkelayakan dan terlatih,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Kelab Lions KK Mandarin Dr Wah Hai Sit yang mencetuskan idea menubuhkan perkhidmatan ambulans percuma pada 2007 menolak tanggapan bahawa Lass menduplikasikan peranan penyedia ambulans lain.

“Sebaliknya pertubuhan kami melengkapi perkhidmatan Jabatan Kesihatan Negeri dan badan bukan kerajaan lain,” jelasnya.

Pengerusi Penganjur Karnival Lim Wuang Ching yang juga Presiden Penaja Kelab Lions Luyang ACE berkata acara itu akan diadakan pada 12 Oktober di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok dari jam 1.30 tengah hari hingga 4.30 petang dengan kerjasama 16 Kelab Lions.