Sabah sumbang 73 peratus pengeluaran koko negara

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2025 • 4:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tenom: Kawasan pedalaman Sabah terus membuktikan keupayaannya sebagai penyumbang utama sektor agrokomoditi negara apabila muncul sebagai pengeluar terpenting tanaman koko.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata Sabah kini merekodkan keluasan tanaman koko mencecah 360 hektar melibatkan lebih 550 petani dengan pengeluaran bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025 sekali gus menyumbang 73 peratus daripada jumlah keseluruhan koko negara.

“Lebih membanggakan Zon Tenom sahaja mencatat 47 peratus daripada keseluruhan pengeluaran di Sabah menjadikan daerah itu sebagai hab utama koko negara.

“Inilah statistik yang amat membanggakan. Tenom memainkan peranan amat penting kerana hampir separuh daripada koko dihasilkan di Sabah datang dari zon Tenom,” katanya kepada media selepas merasmikan Kursus Pasca Tuai dan Penggredan Biji Koko Kering Zon Kemabong baru-baru ini.

Chan turut memaklumkan bahawa Program Pemulihan Kebun Koko 2024–2026 yang dilaksanakan kerajaan memberikan manfaat kepada lebih 2,000 petani di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM5 juta termasuk 118 petani di Zon Kemabong.

Program tersebut melibatkan pemberian bantuan input pertanian, pemangkasan semula kebun lama serta latihan teknikal kepada pengusaha bagi memastikan hasil koko memenuhi piawaian pasaran antarabangsa.

Beliau optimis melalui usaha berterusan ini Sabah bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengeluaran koko malah berpotensi menjadi peneraju koko premium bagi pasaran luar negara khususnya dalam segmen bean-to-bar.

“Penghasilan koko dari Tenom dan Kemabong terkenal dengan aroma dan rasa yang tersendiri. Jika dikembangkan dengan strategi penjenamaan yang baik ia boleh menjadi produk eksport bernilai tinggi,” katanya.

Dalam masa sama Chan menggesa lebih ramai belia luar bandar untuk melibatkan diri dalam industri koko yang kini menawarkan peluang lebih luas bukan hanya dalam penanaman tetapi pemprosesan dan produk hiliran seperti coklat buatan tempatan.