Tenaga kerja muda lonjak sektor minyak dan gas Sabah

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2025 • 4:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berpengetahuan luas serta beretika yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pantas adalah amat penting untuk sektor minyak dan gas kekal sebagai tulang belakang pembangunan ekonomi negara khususnya di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata industri berdepan cabaran baharu termasuklah peralihan kepada tenaga hijau, transformasi digital dan peningkatan piawaian keselamatan.

“Trend ini menggariskan keperluan untuk tenaga kerja kompeten dan bersedia menghadapi masa depan yang dapat memenuhi permintaan industri sambil menyumbang kepada kelestarian dan daya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Kimanis (KTC) milik Petronas baru-baru ini.

Pada majlis itu seramai 20 graduan KTC menerima sijil kelayakan masing-masing sekali gus kini bersedia melangkah ke alam pekerjaan.

Penyampaian sijil graduasi kepada para pelatih menandakan satu lagi pencapaian dalam misi KTC untuk membekalkan golongan muda daripada pelbagai latar belakang dengan kemahiran praktikal dan keyakinan diri.

Sindy Joyce Ambrose dari Keningau dinobatkan sebagai Graduan Terbaik pengambilan 2022.

Mohd Arifin juga menekankan kepentingan latihan teknikal dan vokasional (Tvet) yang menyeluruh.

Menurutnya graduan KTC dengan ilmu praktikal, pengalaman industri secara langsung, pendedahan kepada piawaian keselamatan serta kemahiran profesional penting untuk cemerlang dalam bidang masing-masing.

Majoriti graduan 2022 telah berjaya mendapatkan pekerjaan sejak menamatkan latihan pada bulan Jun sekali gus menyerlahkan peranan penting KTC dalam menyokong agenda Tvet negara.

KTC memilih pelatih dari semua daerah di Sabah termasuk Tongod, Kota Belud, Pitas dan Ranau dengan keutamaan diberikan kepada calon daripada keluarga B40 bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan inklusif.

Dalam pada itu Mohd Arifin berbangga melihat gelombang bakat muda yang bersedia melangkah dengan yakin ke alam pekerjaan.

“Pencapaian anda adalah bukti jelas usaha keras, disiplin dan dedikasi. Segala pengalaman yang diperoleh telah membentuk anda bukan sahaja sebagai individu berkemahiran teknikal malah profesional muda yang berkeyakinan, berdisiplin dan mampu menghadapi cabaran dunia sebenar,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) Azhar Ahmad berkata KTC telah melahirkan seramai 231 graduan sejak penubuhannya pada 2011.

“Graduan KTC dijangka mengekalkan standard kemahiran berkualiti tinggi untuk memastikan daya saing global.

“Laluan Tvet merupakan strategi membina kemahiran, melahirkan tenaga kerja tahan uji yang akhirnya menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara,” katanya.