Sabah tambah bantuan RM20 juta: Peruntukan bagi sekolah, badan agama bukan Islam naik kepada RM90 juta

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 12:31 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah tambah bantuan RM20 juta: Peruntukan bagi sekolah, badan agama bukan Islam naik kepada RM90 juta

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah meningkat-kan peruntukan bantuan kewangan kepada sekolah dan badan agama bukan Islam sebanyak RM20 juta kepada RM90 juta tahun ini berbanding RM70 juta pada 2025, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah dan Badan Agama Bukan Islam 2026 hari ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan tanggungjawab asas dan manifestasi keadilan sosial yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

“Kita mahu memastikan tiada sekolah yang dinafikan kemudahan infrastruktur pendidikan yang mencukupi dan tiada rumah ibadat yang tercicir daripada menerima sokongan pembangunan kerajaan,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun pada majlis berkenaan di Pacific Sutera, di sini, Selasa.

Hajiji berkata peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluas akses kepada pendidikan, selain membantu penyelenggaraan bangunan, aktiviti pembelajaran dan operasi badan keagamaan.

Beliau berkata Kementerian Kewangan negeri menerima 339 permohonan bantuan daripada sekolah tahun ini dengan jumlah permohonan peruntukan sebanyak RM107.27 juta merangkumi lima kategori yang layak dipertimbangkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM40 juta diluluskan untuk 320 sekolah yang memenuhi syarat ditetapkan.

Bagi badan agama bukan Islam pula, sebanyak 1,810 permohonan diterima tahun ini daripada kuil Cina, kuil Hindu dan gereja pelbagai denominasi di seluruh Sabah, dengan jumlah permohonan peruntukan sebanyak RM235.30 juta.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada 1,761 badan agama bukan Islam.

Hajiji berkata kerajaan memahami bahawa keperluan di peringkat akar umbi jauh melebihi peruntukan yang tersedia, namun pemberian bantuan dibuat berdasarkan keutamaan, keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan.

“Apabila kedudukan kewangan kerajaan mengizinkan, kita akan terus berusaha meningkatkan sokongan dan bantuan kepada rakyat serta institusi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kekuatan masa depan Sabah bergantung kepada kualiti generasi muda, manakala pelan pembangunan negeri memerlukan modal insan yang berdaya saing, berpengetahuan dan berkemahiran.

Katanya, pendidikan akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat peluang lebih baik untuk belajar, membangunkan potensi diri dan mencapai cita-cita.

“Kita tidak mahu anak-anak dan generasi masa kini hanya menjadi pemerhati dalam pembangunan negeri.

“Sebaliknya, kita mahu mereka menjadi generasi yang akan memimpin dan membentuk masa depan Sabah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah membuka peluang lebih luas kepada pemegang sijil berkenaan untuk melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri serta memohon biasiswa yang ditawarkan.

Katanya, langkah itu mencerminkan keterbukaan dan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian aliran pendidikan di negeri ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memelihara keharmonian yang sekian lama menjadi kekuatan masyarakat Sabah, dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya menjadi pemangkin perpaduan, bukannya perpecahan.

“Rasa saling menghormati dan kerjasama mesti terus dipelihara supaya Sabah kekal sebagai negeri yang progresif, stabil dan harmoni serta menyediakan peluang kepada semua,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan terus memastikan semua lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, warna kulit atau kepercayaan agama, mendapat layanan yang adil dan saksama, selain menyokong institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang memerlukan bantuan.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat, memelihara keharmonian dan memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved