
Kundasang: Sebanyak 49 projek pembangunan dengan peruntukan berjumlah RM432.4 juta telah diluluskan bagi Sabah dalam tempoh 2021 hingga 2025.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata antara projek tersebut termasuklah naik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal bagi Skim Pengairan Kinapulidan di Ranau.
“Selaian itu sebanyak RM13.2 juta turut disalurkan untuk negeri ini bagi pelaksanaan projek di bawah Program Pengukuhan Sekuriti Makanan yang dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan tahun ini agar mampu meningkatkan produktiviti tanah pertanian tempatan yang bersifat ‘quick win’.
“Kerajaan Persekutuan juga menghargai usaha para petani padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak. Tahun ini juga sebanyak RM53 juta diperuntukan melibatkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Padi Huma (SBRPB).
“Seramai 18,318 petani di Sabah layak menerima SBRPB bagi musim 2/2025 dan PPK Kinabalu merupakan penerima tertinggi di Sabah melibatkan 4,409 petanidengan nilai RM4.15 juta,” katanya ketika merasmikan Karnival Mini KPKM ‘Agriculture for All’ yang diadakan di Pekan Kundasang.
Arthur turut berkongsi kejayaan usahawan di Kundasang yang kini mampu membanggakan negeri dengan kejayaan ladang bawang seluas lima ekar di TKPM Kundasang.
Menurutnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui MARDI juga telah menyalurkan peruntukan RM180,000 bagi pembangunan tapak baharu seluas 40 ekar.
“Melihat potensi ini saya yakin suatu hari nanti Kundasang akan menjadi pengeluar utama bawang negara.
“Sektor pertanian dan agromakanan di Sabah mempunyai potensi besar untuk terus berkembang serta menyumbang bukan sahaja kepada ekonomi negeri tetapi kepada agenda keterjaminan makanan negara.
“Potensi itu lebih terserlah memandangkan Kundasang dan Ranau terus menjadi ikon pertanian tanah tinggi di Sabah,” katanya.
Arthur menambah potensi itu disokong oleh beberapa faktor utama termasuklah sumbangan signifikan kepada ekonomi negeri, tahap Sara Diri (SSL) tinggi bagi komoditi utama, jumlah pemilikan pertanian tertinggi di Malaysia serta kawasan tanah pertanian yang masih belum diterokai sepenuhnya.
“Berdasarkan Bancian Pertanian 2024 Ranau mencatatkan lebih daripada 12,862 pemilikan pertanian individu sekali gus menjadikannya antara yang tertinggi di negeri ini.
“Angka ini jelas membuktikan bahawa pertanian bukan sekadar sumber pendapatan tetapi pemacu utama ekonomi masyarakat tempatan.
“Malah sumbangan Ranau dalam sektor hortikultur turut memperkukuh pencapaian Sabah yang mencatat nilai jualan hasil pertanian sebanyak RM25.06 bilion pada tahun 2023,” ujarnya.
Sementara itu Arthur berkata penganjuran karnival mini seumpama itu mencerminkan usaha kerajaan memperkasa rakyat melalui sektor pertanian dengan menekankan nilai Malaysia Madani iaitu inklusiviti, kelestarian dan kesejahteraan bagi membina masa depan negara yang lebih makmur.
Selain itu katanya karnival mini tersebut juga bertujuan memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan menikmati pelbagai perkhidmatan dan program yang memberi manfaat besar kepada para petani khususnya dan masyarakat amnya.

