
Setanding dengan Sarawak, Sabah akan tubuh syarikat penerbangan pada tahun depan
Sabah Tubuh Syarikat Penerbangan Sendiri, Menjelang 2024. Sabah dijangka menubuhkan syarikat penerbangan dan akan beroperasi menjelang tahun depan, menurut Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB), Kenny Chua.
Bahkan, menurut laporan, beliau turut berharap dapat menandatangani perjanjian sewaan sekurang-kurangnya tiga pesawat menjelang akhir tahun ini, tanpa terhad kepada Airbus atau Boeing.
“Rundingan sedang berlangsung secara berperingkat. Siapa tahu, kita mungkin melancarkan lebih awal daripada Sarawak,” katanya, merujuk kepada laporan.
Sabah berada landasan sama dengan Sarawak
Bagaimanapun, Chua menyatakan bahawa Sabah kini berada pada landasan sama dengan Sarawak, dengan pelaburan asing mengalir ke negeri tersebut. Sebelum ini, Sabah terlalu bergantung pada pembiyaan persekutuan.
“Kita memerlukan syarikat penerbangan dan hab terminal kargo sendiri. Kita mempunyai lesen, jurutera penerbangan, juruterbang dan lapangan terbang kita sendiri. Tidak ada apa pun yang boleh menghalang kita lagi,” ujarnya lagi menurut sumber.
Tiga nama berpotensi bagi syarikat penerbangan
Antara tiga nama yang dicadangkan untuk syarikat penerbangan oleh Chua adalah Sabah Airlines, Air Borneo atau Borneo Airlines. Namun, keputusan itu akan ditentukan lembaga SAASB dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji nor.
Dalam pada itu, difahamkan syarikat penerbangan baharu itu akan mengikuti model perniagaan kos rendah yang boleh bersaing dengan pengendali sedia ada. Laluan sangat menguntungkan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu kini dikendalikan Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia dan MyAir.

Bukan itu sahaja, semua orang Sabah, terutama pelajar dan kakitangan awam akan mendapat diskaun harga tiket bagi penerbangan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu.
Selain itu, SAASB dalam proses mengambil alih Terminal 2 AirAsia di Tanjung Aru untuk mengubahsuai menjadi terminal kargo.
Cadangan yang baik untuk membantu meningkatkan industri pelancongan Sabah
Sebelum ini, Borneo Post pernah melaporkan Adun Kuamut, Masiung Banah, menyatakan bahawa beliau akan membawa usul di DUN Sabah untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.


