Sabitan kes rogol Da’i Syed tidak selamat, tidak sepatutnya dikekalkan - Peguam

3 Aug 2026 • 6:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sabitan kes rogol Da’i Syed tidak selamat, tidak sepatutnya dikekalkan - Peguam
Mahkamah Rayuan pada Isnin diberitahu sabitan bagi kesalahan rogol terhadap pendakwah selebriti Da’i Syed adalah tidak selamat dan tidak sepatutnya dikekalkan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam kes pihak pendakwaan khususnya berhubung isu persetujuan. Gambar fail

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin diberitahu sabitan bagi kesalahan rogol terhadap pendakwah selebriti Da’i Syed adalah tidak selamat dan tidak sepatutnya dikekalkan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam kes pihak pendakwaan khususnya berhubung isu persetujuan.

Peguam Datuk M.M. Athimulan, yang mewakili Da’i Syed, berhujah bahawa keterangan saksi pendakwaan sendiri mendedahkan terdapat pelbagai keadaan yang menunjukkan hubungan seksual antara perayu dan mangsa berlaku atas dasar suka sama suka.

Beliau memaklumkan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid bahawa hakim Mahkamah Sesyen yang pertama mendapati mangsa bersetuju melakukan hubungan seks berdasarkan tindak-tanduknya sebelum dan selepas insiden itu.

Athimulan berkata justeru, Mahkamah Sesyen telah melepas dan membebaskan Da’i Syed, atau nama sebenarnya ialah Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu kemudian diketepikan oleh Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie dan memerintahkan Da’i Syed membela diri.

Perayu kemudian didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Sesyen yang lain.

Athimulan berhujah bahawa hakim Mahkamah Sesyen yang kedua telah terkhilaf kerana gagal memberikan penilaian maksimum terhadap keterangan kedua-dua pihak dan menyebabkan berlaku ketidakadilan kepada perayu.

Beliau berkata, Da’i Syed tidak pernah memaksa mangsa ke rumahnya, dan wanita itu boleh menolak mengikut pendakwah selebriti tersebut dan mempunyai peluang untuk pergi namun memilih untuk tidak berbuat demikian.

Athimulan juga berhujah perbualan di platform media sosial Instagram selepas itu yang dimulakan oleh mangsa tidak mengandungi unsur tuduhan rogol sebaliknya menunjukkan dia ingin bertemu lagi sedangjab perayu berulang kali menyatakan bahawa beliau sibuk.

Da’i Syed, 31, sedang merayu terhadap sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadapnya bagi pertuduhan merogol mangsa yang ketika itu berumur 23 tahun di sebuah kondominium di Shah Alam pada jam 1.35 pagi 11 September 2019.

Pada 23 Januari lepas,Mahkamah Tinggi menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah

Sesyen sekali gus mendorong pendakwah selebriti itu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan manakala pendakwaan mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim yang mewakili pendakwaan berhujah bahawa keterangan saksi menyokong naratif bahawa dia telah dirogol selain bukti keadaan yang menunjukkan bahawa wanita tersebut mengalami kemurungan serta perubahan tingkah laku susulan insiden berkenaan.

Beliau berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital dan laporan perubatan menyebut bahawa antara faktor penyumbang kepada kemurungannya ialah dakwaan serangan seksual itu.

Iznina Hanim juga berkata, keputusan mangsa mengikut perayu ke rumahnya, tindakannya untuk tidak beredar selepas mendapati tiada orang lain di situ mahupun kelewatan membuat laporan polis berhubung insiden itu tidak bermakna wanita berkenaan bersetuju melakukan hubungan seksual.

Beliau berkata, bukan mudah untuk mangsa membuat laporan polis terhadap perayu yang dikenali ramai sebagai pendakwah.

Mahkamah Rayuan kemudian menangguhkan prosiding itu dan menetapkan 17 Ogos ini sebagai pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan.

Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, yang turut mewakili Da’i Syed, memaklumkan media bahawa mahkamah akan memutuskan pada tarikh akan datang sama ada mengekalkan sabitan, dan sekiranya sabitan itu dikekalkan maka kedua-dua pihak akan berhujah mengenai hukuman. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved