SACC dijenamakan semula sebagai Selangor International Trade Centre

Business & Finance
13 Aug 2026 • 3:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SACC dijenamakan semula sebagai Selangor International Trade Centre

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjenamakan semula Shah Alam Convention Centre (SACC) kepada Selangor International Trade Centre (SITC), sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan SA Sentral di Seksyen 14 yang bakal memacu transformasi dan peremajaan pusat bandar Shah Alam.

PKNS berkata, penjenamaan semula itu menandakan evolusi peranan pusat konvensyen berkenaan daripada sebuah lokasi penganjuran acara kepada sebuah hab perdagangan dan perniagaan yang lebih dinamik, berdaya saing dan berorientasikan masa hadapan.

“Menerusi SITC, PKNS berhasrat mewujudkan sebuah platform bersepadu yang menghimpunkan usahawan, pemain industri, komuniti perniagaan dan pelabur dalam satu ekosistem yang membuka ruang kepada jaringan strategik, kerjasama rentas sempadan, inovasi komersial serta peluang perdagangan dan pelaburan.

“Sebagai platform perdagangan, konvensyen dan pameran utama di Selangor, SITC membawa aspirasi untuk menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan antarabangsa, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan,” menurut kenyataan.

Menurutnya, kedudukan strategik SITC dalam pembangunan SA Sentral turut memperkukuh peranannya sebagai sebahagian daripada ekosistem bandar yang mengintegrasikan komponen perniagaan, komersial, sosial dan komuniti di tengah-tengah Shah Alam.

Jelasnya, seiring usaha peremajaan pusat bandar, PKNS turut merangka penjenamaan semula beberapa aset komersial dan komponen lain khususnya di Seksyen 14.

“Setiap komponen akan diposisikan dengan identiti, karakter dan fungsi tersendiri bagi membentuk jenama SA Sentral yang lebih kukuh, tersusun dan saling melengkapi.

“Transformasi SACC kepada SITC dijangka memperkukuh kedudukan SA Sentral sebagai mercu tanda baharu Shah Alam, selain meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi perniagaan, perdagangan, pelaburan dan aktiviti komuniti,” ujarnya.

Lebih daripada sekadar perubahan identiti, PKNS berkata, penjenamaan SITC mencerminkan visi PKNS untuk memaksimumkan potensi aset strategiknya serta memperkukuh peranan Shah Alam dan Selangor dalam landskap perdagangan serantau dan antarabangsa. – UTUSAN

The post SACC dijenamakan semula sebagai Selangor International Trade Centre appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved