SACC kini dikenali sebagai Selangor International Trade Centre

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 12:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SACC kini dikenali sebagai Selangor International Trade Centre Image from: SACC kini dikenali sebagai Selangor International Trade Centre hamden13/08/2026 - 12:12 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

SHAH ALAM 13 Ogos  - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mengumumkan penjenamaan semula Shah Alam Convention Centre (SACC) kepada Selangor International Trade Centre (SITC), sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan SA Sentral di Seksyen 14 yang bakal memacu transformasi dan peremajaan pusat bandar Shah Alam.

 

Penjenamaan semula itu mencerminkan evolusi peranan pusat berkenaan daripada sekadar lokasi penganjuran acara kepada hab perdagangan dan perniagaan yang lebih dinamik, berdaya saing serta berorientasikan masa hadapan.

 

Menerusi SITC, PKNS menyasarkan untuk mewujudkan platform bersepadu yang menghimpunkan usahawan, pemain industri, komuniti perniagaan dan pelabur dalam satu ekosistem yang membuka peluang kepada jaringan strategik, kerjasama rentas sempadan, inovasi komersial serta aktiviti perdagangan dan pelaburan.

 

PKNS dalam kenyataan berkata, sebagai platform perdagangan, konvensyen dan pameran utama di Selangor, SITC membawa aspirasi untuk menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan antarabangsa.

 

Usaha itu sekali gus dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan.

 

“Kedudukan strategik SITC dalam pembangunan SA Sentral turut memperkukuh peranannya sebagai sebahagian daripada ekosistem bandar yang mengintegrasikan komponen perniagaan, komersial, sosial dan komuniti di tengah-tengah Shah Alam,” menurut PKNS.

 

sitc

 

Usaha Meremajakan Pusat Bandar Shah Alam

Penjenamaan SITC merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar PKNS untuk meremajakan pusat bandar Shah Alam, khususnya kawasan Seksyen 14.

 

Seiring usaha berkenaan, PKNS turut merangka penjenamaan semula beberapa aset komersial dan komponen lain di kawasan tersebut.

 

Setiap komponen akan diposisikan dengan identiti, karakter dan fungsi tersendiri bagi membentuk jenama SA Sentral yang lebih kukuh, tersusun dan saling melengkapi.

 

PKNS berkata, transformasi SACC kepada SITC dijangka memperkukuh kedudukan SA Sentral sebagai antara mercu tanda baharu Shah Alam.

 

Pada masa sama, pembangunan tersebut berpotensi meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan sebagai destinasi perniagaan, perdagangan, pelaburan dan aktiviti komuniti.

 

Lebih daripada sekadar perubahan identiti, penjenamaan SITC mencerminkan visi PKNS untuk memaksimumkan potensi aset strategiknya serta memperkukuh peranan Shah Alam dan Selangor dalam landskap perdagangan serantau dan antarabangsa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved