Sah atau tidak taklik talak pertaruhan bola sepak?

LocalFootball
21 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sah atau tidak taklik talak pertaruhan bola sepak?

Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan tindakan seorang suami yang didakwa menjadikan lafaz talak sebagai taruhan dalam satu perlawanan bola sepak terkemuka. Suami terbabit meletakkan syarat bahawa dia akan menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya pasukan bola itu tewas. Mohon pandangan SS Mufti.

Jawapan: Perbuatan suami yang menjadikan talak sebagai bahan pertaruhan bagi sesuatu perkara disebut sebagai taklik talak iaitu menggantungkan lafaz talak kepada isteri dengan syarat, sifat atau perbuatan tertentu sama ada dilakukan oleh suami, isteri atau orang lain.

Hukumnya adalah sah dan talak boleh berlaku disebabkan perkara itu.

Di Malaysia, pengesahan berkaitan sah atau tidak sesuatu lafaz talak atau taklik perlu dirujuk kepada Mahkamah Syariah kerana institusi ini adalah pemegang kuasa statutori untuk memutuskan sama ada berlaku perceraian atau tidak.

Taklik talak ialah perbuatan suami yang menggantungkan lafaz talak kepada isterinya berdasarkan suatu sifat, syarat atau perbuatan sama ada yang dilakukan oleh isteri atau orang lain.

Para fuqaha empat mazhab berpandangan bahawa talak boleh berlaku secara taklik talak apabila perkara yang disyaratkan atau digantungkan dengan talak itu berlaku. Mereka berhujah dengan keumuman dalil al-Quran yang menunjukkan akan keharusan talak serta penyerahan hak talak kepada suami, berdasarkan Firman Allah SWT: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.” (Surah al-Baqarah: 229)

Dalil ini tidak membezakan antara talak dilafazkan secara terus dengan talak yang diletakkan syarat dan tidak pula mengaitkan akan jatuhnya talak kepada syarat tertentu. Hal ini bermaksud, suami berhak menjatuhkan talak mengikut kehendaknya sama ada secara terus, disandarkan pada masa hadapan atau diikat dengan syarat secara sumpah atau selainnya.

Selain itu, merujuk kepada riwayat daripada Ibn Mas’ud berkenaan seorang suami yang berkata kepada isterinya: “Sekiranya aku melakukan sekian-sekian, maka dia (isteri) tertalak.”

Kemudian, suami itu melakukannya. Ibnu Mas’ud berkata: ‘Ia dikira satu talak (raj’ie), dan dia (suami) lebih berhak untuk merujuknya kembali.”

Dalam permasalahan ini, taklik bukan sahaja boleh berlaku dengan cara suami mensyaratkan talak pada perbuatannya sendiri atau perbuatan isteri.

Namun, ia juga boleh berlaku jika disyaratkan pada perbuatan orang lain dan lafaz itu adalah sah.
Al-Ramli menyatakan, sekiranya orang itu tidak mengambil peduli akan taklik tersebut seperti pemerintah atau dia mengambil peduli tentangnya tetapi tidak mengetahuinya dan suami pula tidak berniat untuk memaklumkan kepadanya, maka berlaku talak dengan perbuatan orang itu walaupun dalam sebahagian keadaannya seperti lupa atau seumpamanya.

Hal ini kerana, tujuan suami pada ketika itu hanyalah semata-mata menggantungkan talak dengan perbuatan tersebut tanpa disertai niat untuk menghalang orang itu daripada melakukannya.

Pengharaman pertaruhan atau perjudian adalah mutlak dan disepakati oleh seluruh ulama berdalilkan firman Allah SWT berikut: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.” Katakanlah: “Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah Al-Baqarah: 219)

Secara umumnya, perjudian bukanlah sekadar aktiviti permainan atau transaksi kewangan semata-mata, sebaliknya ia merupakan perangkap berbahaya yang melekakan seseorang daripada mengingati Allah SWT serta melalaikannya daripada menunaikan ibadah solat.

Bahkan, perjudian menjadi punca utama terhakisnya keharmonian bermasyarakat apabila ia menyemaikan benih permusuhan dan kebencian yang mendalam antara sesama manusia, akibat rasa tidak puas hati dan kerugian yang dialami.

Dalam situasi ini, walaupun talak ditaklikkan dengan pertaruhan, namun sekiranya perkara yang ditaklikkan tersebut berlaku, maka talak boleh jatuh dan sabit di sisi mazhab Syafi’i sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Sekiranya situasi lafaz talak atau taklik telah berlaku, pasangan suami isteri wajib mengambil tindakan segera dengan merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Syariah. Langkah ini penting bagi mendapatkan kepastian dan keputusan hukum yang rasmi sebelum mereka meneruskan hubungan sebagai suami isteri.
Tindakan ini amat kritikal bagi memelihara kesucian ikatan perkahwinan serta mengelakkan pasangan daripada terus bersekedudukan dalam keadaan meragukan (syubhah).

Tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa agama, tindakan meneruskan hubungan kelamin dikhuatiri boleh mendedahkan pasangan suami dan isteri kepada perbuatan yang membawa kepada zina di sisi syarak.

Lafaz talak bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main, dijadikan bahan gurauan atau diguna sebagai modal pertaruhan.

Oleh yang demikian, dinasihatkan agar suami wajib bertaubat atas pertaruhan yang dilakukan serta penyesalan yang mendalam kerana telah mempermainkan hukum-hakam Allah SWT.

The post Sah atau tidak taklik talak pertaruhan bola sepak? appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved