
RIYADH – Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos tampil menafikan sekeras-kerasnya laporan yang mendakwa beliau sudah memeluk agama Islam, baru-baru ini.
Bekas bintang Real Madrid dan skuad kebangsaan Brazil itu menegaskan, walaupun beliau mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap agama suci tersebut, dakwaan bahawa beliau bertukar agama adalah tidak benar.
Khabar angin tersebut mula bertiup kencang selepas tular berita perkahwinannya dengan seorang ejen bola sepak wanita kelahiran Maghribi, Souhaila El Tahiri.
Bercakap secara eksklusif kepada akhbar Arab Saudi, Okaz, Carlos, 53, memutuskan untuk bersuara selepas spekulasi mengenai status agamanya hangat diperkatakan di media sosial dan media tempatan Turkiye.
“Saya sangat menghormati agama Islam. Malah, saya rasa sangat tenang dan indah setiap kali melihat isteri saya menunaikan solat.
“Bagaimanapun, gosip yang mendakwa saya sudah masuk Islam adalah tidak benar sama sekali,” kata Carlos kepada Okaz.
Kenyataan terbuka ikon bola sepak itu sekali gus menafikan laporan beberapa portal media asing sebelum ini. Laporan terdahulu mendakwa beliau kononnya telah mengucapkan dua kalimah syahadah kira-kira empat minggu lalu di hadapan tokoh Islam terkemuka di Brazil, Sheikh Jihad Hamada.
Isu berkenaan menjadi lebih ‘panas’ apabila seorang Ahli Parlimen Turkiye daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party), Ali Sahin, membuat hantaran mendakwa beliau mendapat tahu tentang “pengislaman” Carlos ketika mengadakan pertemuan dengan wakil komuniti Islam di Brazil. – Agensi
The post Saya hormati Islam tetapi nafi tukar agama – Roberto Carlos appeared first on Kosmo Digital.





