Sah Ke Lafaz Talak Jika Suami Tidak Sebut Nama Penuh Isteri? Ini Penjelasannya

19 Aug 2026 • 5:59 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Sah Ke Lafaz Talak Jika Suami Tidak Sebut Nama Penuh Isteri? Ini Penjelasannya

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Penceraian merupakan jalan terakhir buat pasangan suami isteri yang sudah tiada persefahaman.

Kebiasaannya, ada sesetengah suami nekad melafazkan cerai di hadapan pasangan mereka sendiri dengan menyebut nama penuh isteri.

Namun, ada segelintir yang melafazkan cerai dengan hanya menggunakan nama panggilan seperti ‘sayang’.

Persoalannya adakah sah lafaz cerai si suami jika tidak menyebut nama isteri dan hanya menggunakan nama panggilan?

Talak Tetap Jatuh Meskipun Tak Sebut Nama Penuh Jika Diketahui Ditujukan Kepada Siapa

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman rasminya, talak tetap dikira jatuh meskipun tidak disebut nama isteri.

Ini kerana jelas beliau, talak tersebut telah difahami ditujukan kepada siapa.

“Talak tetap dikira jatuh meskipun tidak menyebut namanya kerana talak itu difahami ditujukan kepada siapa.

“Maka, sekiranya si suami mengucapkan lafaz sebegitu, maka ia dikira jatuh dan perlu dirujuk ke Mahkamah.

“Keputusan Hakim akan dianggap sebagai penyelesai dan mengangkat sebarang perselisihan yang berlaku seperti dalam kaedah yang masyhur:

حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

“Maksudnya: ‘Keputusan hakim mengangkat perselisihan,” katanya.

Pembahagian Jenis Lafaz Talak

Jelas Dr Zulkifli lagi, para ulama telah membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz kepada dua iaitu:

  1. Lafaz Sorih yang bermaksud jelas
  2. Lafaz Kinayah yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak.

Tambah Dr Zulkifli, antara contoh lafaz sorih adalah seperti ‘aku lepaskan engkau’, ‘engkau tertalak’ dan ‘aku lepaskan engkau’.

Jelas beliau, sekiranya lafaz berkenaan disebut oleh suami maka jatuh talak untuk isterinya.

Dr Zulkifli turut memberikan contoh lafaz talak kinayah antaranya seperti ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ dan ‘jauhkan diri dari aku’.

Jelas beliau, lafaz kinayah ini bergantung kepada niat suami.

“Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak.

“Lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami.

“Ibnu al-Qasim al-Ghazzi menyatakan: ‘Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh’,” katanya.

Penceraian Boleh Berlaku Jika 5 Rukun Talak Dipenuhi

Jelas Dr Zulkifli, berdasarkan ulama Mazhab al-Syafi’I, perceraian boleh berlaku jika lima rukun talak dipenuhi.

Lima rukun tersebut adalah:

  1. Suami yang mukallaf (orang yang telah cukup umur yang wajib melaksanakan perintah Allah). Talak tidak sah jika suami tersebut masih kecil, gila, pengsan, atau tidur.
  2. Lafaz talak.
  3. Isteri yang ditalakkan.
  4. Kuasa perwalian, sebagai wakil jika penceraian ingin dibuat bagi pihak suami yang masih kecil atau gila.
  5. Niat untuk menceraikan.

Lafaz Talak Tak Boleh Disebut Sewenang-Wenangnya Atau Dibuat Main

Menurut laman Pejabat Mufti Selangor, lafaz cerai atau talak tidak boleh disebut sewenang-wenangnya atau dibuat main atau secara gurauan.

“Perkara ini dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

“Maksudnya: ‘Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk’. (Riwayat Abu Daud),” jelas mereka.

Talak Tetap Jatuh Jika Ia Sememangnya Dituju Kepada Isteri Meskipun Nama Disebut Salah

Jelas Pejabat Mufti Selangor lagi, jika suami berniat untuk menceraikan isteri atau lafaz tersebut sememangnya ditujukan kepada isteri meskipun nama tidak tepat, maka ia boleh menyebabkan jatuhnya talak.

“Walaupun dilafaz secara berseorangan, jika suami berniat untuk menceraikan isterinya atau lafaz tersebut ditujukan kepada isteri walaupun namanya tidak tepat, boleh menyebabkan jatuhnya talak.

“Justeru, pihak suami dikehendaki merujuk terus perkara ini ke Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran untuk pengesahan lafaz cerai tersebut,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Suami Lafaz Cerai Talak 3 Jika Argentina Kalah Piala Dunia 2026, Dr Zulkifli Nasihat Rujuk Mahkamah Syariah

Baca Artikel Berkaitan: Suami Orang Tapi Mengaku Bujang Depan Wanita Lain, Boleh Jatuh Talak Atau Tidak? Ini Penjelasan UAI [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved