
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap umat Islam yang mendirikan solat pastinya mahu ibadah tersebut dilakukan dengan sempurna dan sah mengikut rukunnya.
Namun sebagai manusia kita kadang kala tidak lari daripada melakukan kesilapan yang adakalanya tanpa sedar boleh membatalkan solat tersebut atau sebaliknya seperti muncul keraguan terhadap sesuatu perkara.
Sah ke solat jika pakaian atau telekung kena hingus?
Baru-baru ini pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun ada berkongsi mengenai situasi sekiranya pakaian atau telekung terkena hingus sewaktu sedang solat dan adakah ia boleh membatalkan ibadah berkenaan.
“Tengah solat, tiba-tiba hingus meleleh sebab selesema. Risau masuk mulut, jadi terus lap dekat telekung. Tapi tiba-tiba terfikir, pakaian yang kena hingus tu suci dan solat sah ke?
“Mungkin ramai mengalami situasi macam ni,” ujarnya.
Dalam hantaran yang dikongsikan di Facebook, Ustazah Asma’ turut mengatakan ada juga yang mengalami keadaan apabila hingus mengalir ke dalam mulut sehingga tertelan ketika solat.
Menurut beliau bagi kedua-dua situasi tersebut ia mempunyai hukum yang berbeza serta perlu difahami dengan betul.
Hingus bukan dikategorikan sebagai najis
Jelas Ustazah Asma’, menurut Mazhab Syafi’i, hingus yang keluar dari hidung manusia asalnya adalah suci serta tidak dikategorikan sebagai najis.
Meskipun ia kelihatan kotor serta menjijikan namun ia tidak bermakna hingus terbabit adalah najis mengikut hukum syarak.
Solat dan wuduk masih sah jika terkena hingus pada pakaian atau anggota badan
“Jabatan Mufti Negeri Selangor melalui jawapan e-Musykil pada tahun 2025 turut menjelaskan bahawa hingus tidak dikira sebagai najis. Oleh itu, jika hingus terkena pada tangan, pakaian atau telekung , ia tidak menyebabkan pakaian tersebut menjadi bernajis. Hingus juga tidak membatalkan wuduk,” katanya.
Solat seseorang itu masih sah jika individu berkenaan mengelap hingus menggunakan hujung telekung kerana perbuatan tersebut tidak membatalkan wuduk atau solatnya.
Maka seseorang itu tidak perlu bimbang jika hingus terkena pada pakaian mahupun telekung memandangkan ia bukanlah najis. Bahkan solat boleh diteruskan seperti biasa dan telekung juga tidak perlu dibasuh sebelum digunakan untuk solat yang berikutnya.
Macam mana pula jika hingus mengalir masuk mulut dan tertelan?
Kata Ustazah Asma’ perkara ini terdapat perincian hukum yang berbeza. Meskipun hingus teersebut dihukumkan sebagai suci, namun menelas hingus secara sengaja sewaktu solat boleh membatalkan solat yang didirikan.
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab Raudhah al-Talibin:
وَلَوْ كَانَ بَيْنَ أَسْنَانِهِ شَيْءٌ فَابْتَلَعَهُ أَوْ نَزَلَتْ نُخَامَةٌ مِنْ رَأْسِهِ فَابْتَلَعَهَا عَمْدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ
Maksudnya: “Sekiranya terdapat sesuatu di celah-celah giginya lalu dia menelannya, atau terdapat kahak yang turun dari kepalanya kemudian dia menelannya dengan sengaja, maka batal solatnya.”
(Rujukan: Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, al-Maktab al-Islami, jilid 1, hlm. 296).
Tak boleh telan hingus dengan sengaja, solat boleh batal
Ujar beliau berdasar daripada penjelasan berkenaan, apabila hingus masuk ke dalam mulut dan dia mampu mengeluarkannya, maka dia tidak boleh dengan sengaja menelannya sewaktu solat.
“Contohnya, seseorang sedang selesema lalu hingus mengalir masuk ke dalam mulutnya. Walaupun dia sedar dan mampu membuang hingus tersebut, dia tetap memilih untuk menelannya. Dalam keadaan ini, solatnya batal.”
Tidak batal jika disebabkan keuzuran
Jelas Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam Taudhih al-Hukmi #105 ada perbezaan antaran menelan dengan sengaja serta keadaan invidu yang tidak mampu untuk mengelakkan hingus daripada tertelan.
Jika individu itu sedang mengalami selesema yang teruk sehingga sentiasa mengalir serta sukar untuk ditahan, atau hingus turun ke kerongkong tanpa boleh dikawal, keadaan terbabit termasuk dalam keuzuran yang tidak membatalkan solat.
Jika tertelan dengan kadar sikit maka solat tak batal
“Begitu juga jika seseorang telah berusaha mengeluarkannya, tetapi masih terdapat sisa yang sukar dibezakan dan dielakkan daripada tertelan.
“Para ulama turut membincangkan keadaan seseorang yang terlupa atau tidak mengetahui larangan menelan sesuatu ketika solat. Dalam keadaan tersebut, jika kadar yang ditelah adalah sedikit menurut kebiasaan, solatnya tidak batal.
“Namun, jika kadarnya banyak, solat boleh terbatal walaupun dilakukan dalam keadaan terlupa atau tidak tahu,” jelasnya lagi.
Oleh itu, kita hendaklah membezakan antara perbuatan yang sengaja, terlupa serta keadaan yang benar-benar tidak mampu dielakkan.
Malah seseorang tidak boleh terus menghukum solatnya batal dek kerana terasa seolah-olah ada hingus yang turun di bahagian kerongkong, walhal dia tidak pasti mengenainya.
Perkara yang boleh dilakukan jika alami selesema
Dalam hantaran tersebut Ustazah Asma’ juga berkongsi perkara yang boleh dilakukan sekiranya anda berdepan dengan situasi hingus yang kerap mengalir.
Katanya sebaik-baiknya sediakan tisu atau kain sapu tangan berdekatan sebelum memulakan solat. Jika hingus mengalir, anda dibolehkan untuk ambil tisu terbabit untuk mengelapnya asalkan pergerakan tersebut dibuat secara ringkas serta tak berlebihan sehingga boleh batalkan solat.






