sarah23/11/2026 - 09:22 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Pelabur dijangka semakin memberi tumpuan kepada saham yang menawarkan dividen menarik dan pendapatan stabil selepas kejatuhan saham teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI) mencetuskan tekanan jualan besar-besaran di pasaran global, menurut penganalisis.
BIMB Securities Research (BIMB Securities) berkata, perubahan strategi pelaburan itu menyaksikan dana beralih kepada sektor yang lebih defensif, khususnya amanah pelaburan hartanah (REIT), utiliti, penjagaan kesihatan dan syarikat kewangan yang menawarkan pulangan dividen.
Menurut firma penyelidikan itu, sektor REIT muncul sebagai satu-satunya sektor yang mencatatkan peningkatan ketara sepanjang minggu berakhir 20 November 2026, dengan kenaikan 1.6%, disokong tarikan hasil dividen sekitar 6% dan prestasi kewangan suku ketiga yang kukuh.
Minat terhadap REIT turut diperkukuh oleh penyenaraian IOI Properties Group REIT (IOIPG REIT) yang dijadualkan pada 25 November ini, manakala sektor penjagaan kesihatan meningkat 0.1% berikutan harga sarung tangan yang semakin stabil dan perhatian terhadap penyenaraian Big Caring Group.
Sebaliknya, sektor teknologi merosot 6.5% sepanjang minggu lalu, diikuti produk perindustrian yang susut 5.8%, apabila kebimbangan terhadap pulangan pelaburan AI dan sekatan eksport cip Amerika Syarikat mendorong pelabur mengurangkan pegangan dalam saham berisiko tinggi.
Pelabur asing jual saham Malaysia RM279 juta
Tekanan pasaran turut meningkat apabila pelabur asing mencatatkan jualan bersih saham tempatan sebanyak RM279 juta bagi minggu berakhir 20 November, berbanding kira-kira RM271 juta pada minggu sebelumnya.
BIMB Securities berkata, jualan asing tertumpu kepada sektor pengguna, teknologi dan perindustrian, dengan Public Bank mencatatkan aliran keluar RM186 juta, Press Metal Aluminium Holdings sebanyak RM79.2 juta dan ViTrox Corporation RM73.2 juta.
Bagaimanapun, institusi tempatan muncul sebagai pembeli bersih sebanyak RM232 juta, manakala pelabur runcit tempatan mencatatkan pembelian bersih RM47 juta, sekali gus membantu mengimbangi sebahagian tekanan jualan asing.
Indeks FBM KLCI ditutup pada 1,556.51 mata Jumaat lalu, susut kira-kira 1.6% bagi minggu berkenaan dan 7.4% sejak awal tahun, ketika sentimen pelaburan turut terjejas akibat kejatuhan pasaran saham Amerika Syarikat.
FBM KLCI dijangka bergerak antara 1,540 hingga 1,580 mata
BIMB Securities menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam lingkungan 1,540 hingga 1,580 mata dalam tempoh terdekat, berikutan ketidaktentuan pasaran global dan jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada Disember.
Rakuten Trade pula menjangkakan indeks penanda aras itu bergerak sekitar 1,550 hingga 1,560 mata bagi dagangan hari ini, dengan aktiviti pembelian saham pada harga rendah masih belum menunjukkan pemulihan ketara berikutan tekanan jualan serantau.
Di peringkat global, MBSB Research melaporkan hanya satu daripada 20 indeks utama yang dipantaunya mencatatkan kenaikan minggu lalu, iaitu Sensex India sebanyak 2.9%, manakala indeks Taiwan merosot 17.5%, Nasdaq 10% dan S&P 500 sebanyak 8.6%.
Firma itu turut melaporkan pelabur asing mengeluarkan AS$6.32 bilion (kira-kira RM25.99 bilion) secara bersih daripada lapan pasaran saham Asia yang dipantaunya, dengan Taiwan dan Korea Selatan mencatatkan aliran keluar terbesar, sementara India menjadi satu-satunya pasaran yang menerima aliran masuk bersih.
Saham defensif dan teknologi terpilih masih berpotensi
Walaupun pasaran kekal tidak menentu, BIMB Securities berpandangan saham syarikat yang mempunyai pendapatan kukuh, perniagaan stabil dan pulangan dividen menarik berpotensi mendapat perhatian, selain saham semikonduktor terpilih yang mengalami kejatuhan harga ketara.
Firma penyelidikan itu menyenaraikan Pavilion REIT, IHH Healthcare, Solarvest Holdings, Gamuda dan Inari Amertron sebagai pilihan utama, dengan saranan 'beli' masing-masing bagi IHH pada harga sasaran RM10.42, Solarvest RM4.23, Gamuda RM5.91 dan Inari RM2.90, manakala Pavilion REIT tidak diberikan penarafan.- DagangNews.com




