Bekas CEO Fave, Arzumy Md Yusof dilantik terajui AI Malaysia

LocalTechnology
23 Nov 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekas CEO Fave, Arzumy Md Yusof dilantik terajui AI Malaysia Image from: Bekas CEO Fave, Arzumy Md Yusof dilantik terajui AI Malaysia sarah23/11/2026 - 15:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov -  AI Malaysia melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Fave Asia Technologies Sdn Bhd, Arzumy Md Yusof, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa hari ini bagi memperkukuh pelaksanaan agenda kecerdasan buatan (AI) negara ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI 2030.

 

Agensi peneraju AI negara di bawah Kementerian Digital itu berkata, pelantikan berkenaan menandakan fasa baharu dalam pembangunan organisasinya, khususnya bagi mempercepatkan pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 serta memperluas kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat.

 

Arzumy membawa pengalaman lebih dua dekad dalam bidang teknologi, kepimpinan perniagaan dan pembangunan organisasi, termasuk pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Teknologi Fave Group, sebahagian daripada Pine Labs, selain menjadi antara anggota pasukan pengasas syarikat teknologi tempatan Billplz dan SAYS.

 

Kejayaan AI perlu diukur melalui nilai ekonomi

Pengerusi Lembaga Pengarah AI Malaysia, Aireen Omar berkata, pelantikan Arzumy dibuat ketika Malaysia mempergiat usaha menterjemahkan aspirasi AI negara kepada hasil yang nyata, dengan pengalaman beliau dalam industri teknologi dan perniagaan dijangka memperkukuh keupayaan organisasi itu.

 

"Hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah Negara AI menjelang 2030 memerlukan lebih daripada kemajuan teknologi. Kita memerlukan institusi yang kukuh, kepimpinan yang berkesan serta kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat bagi memastikan keutamaan negara diterjemahkan kepada hasil yang nyata," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, kejayaan agenda AI negara perlu diukur berdasarkan keupayaan yang dibangunkan, nilai ekonomi yang dijana serta sumbangan Malaysia dalam pembangunan AI di peringkat global, sambil memastikan rakyat turut menerima manfaat daripada perubahan teknologi tersebut.

 

Tumpuan kepada keselamatan dan ekonomi AI

Di bawah kepimpinan Arzumy, AI Malaysia akan memberikan tumpuan kepada tiga keutamaan strategik iaitu tadbir urus AI, keselamatan AI dan ekonomi AI, termasuk membangunkan bakat tempatan, memperkukuh inovasi serta memperluas kerjasama antarabangsa bagi membuka akses kepada kepakaran dan teknologi baharu.

 

AI Malaysia yang dilancarkan pada 28 Julai 2026 melalui penginstitusian Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) bertanggungjawab menyelaras Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 merangkumi 28 inisiatif nasional, terdiri daripada 14 pemacu sektoral dan 14 pemangkin asas, dengan matlamat menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi AI, tetapi turut berupaya membangunkan dan mencorakkan masa depan teknologi itu di peringkat global.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved