sarah23/11/2026 - 10:25 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Velesto Energy Berhad sedang memburu peluang kontrak penggerudian luar pesisir bernilai RM2.7 bilion, termasuk rundingan kontrak jangka panjang bagi pelantar NAGA 4 dan NAGA 5, bagi mengukuhkan operasi serta pendapatannya menjelang 2027, menurut penganalisis.
CGS International Securities (CGSI) berkata, lebih 70% daripada peluang kontrak yang sedang diusahakan Velesto melibatkan perjanjian jangka panjang, sekali gus berpotensi memberikan kepastian pendapatan kepada syarikat ketika kadar sewaan pelantar penggerudian di Asia Tenggara masih tertekan.
Menurut firma penyelidikan itu dalam laporan bertarikh 20 November 2026, Velesto turut meneroka peluang kerja jangka pendek bagi pelantar NAGA 6, manakala empat daripada enam pelantar miliknya telah memperoleh kontrak untuk 2027.
Berdasarkan taklimat pengurusan syarikat, kira-kira separuh daripada penggunaan pelantar bagi tahun depan sudah mempunyai kepastian kerja, dengan Velesto terus berusaha mendapatkan kontrak tambahan bagi meningkatkan penggunaan keseluruhan pelantarnya.
NAGA 3 kembali beroperasi untuk PETRONAS Carigali
Sementara itu, BIMB Securities Research (BIMB Research) berkata, Velesto dijangka mencatatkan prestasi lebih kukuh pada suku keempat 2026 susulan permulaan kontrak NAGA 3 dengan PETRONAS Carigali pada November, selepas cadangan penjualan pelantar tersebut tidak diteruskan sebelum ini.
CGSI turut melaporkan bahawa Velesto masih meneruskan usaha mencari pembeli bagi NAGA 3 dan menerima pertanyaan daripada beberapa pihak yang berminat, walaupun pelantar itu kembali digunakan untuk kerja penggerudian.
Menurut BIMB Research, kesemua enam pelantar milik Velesto mempunyai kontrak sehingga akhir 2026, manakala sebahagian kontrak sedia ada mempunyai tempoh pelaksanaan sehingga 2031, dengan buku tempahan kontrak yang telah dimuktamadkan bernilai RM1.1 bilion.
Kadar sewaan rendah kekang pemulihan keuntungan
Bagaimanapun, BIMB Research menjangkakan kadar sewaan pelantar kekal rendah sehingga 2027 berikutan peningkatan persaingan daripada pelantar yang dipindahkan dari Timur Tengah ke Asia Tenggara, dengan kadar kontrak baharu di rantau ini sekitar AS$85,000 (RM349,605) hingga AS$95,000 (RM390,735) sehari.
Tekanan itu turut menjejaskan prestasi kewangan Velesto apabila keuntungan bersih teras bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026 merosot 66% kepada RM42.6 juta berbanding RM125 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, menurut pengiraan BIMB Research.
Namun, kadar penggunaan pelantar meningkat kepada 83% pada suku ketiga daripada 55% pada suku sebelumnya, membantu meningkatkan hasil sebanyak 41% kepada RM217.2 juta, walaupun kadar sewaan purata harian menurun kepada AS$99,000 (RM407,187).
Dividen kekal menjadi tarikan pelabur
Walaupun keuntungan terjejas, BIMB Research berpandangan Velesto masih menawarkan pulangan dividen menarik selepas mengumumkan dividen khas dua sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi sembilan bulan pertama 2026 sebanyak tiga sen sesaham, manakala anggaran dividen tahunan biasa dua sen sesaham memberikan hasil dividen sekitar 11.4% berdasarkan harga saham RM0.175.
BIMB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Velesto dengan harga sasaran lebih rendah sebanyak RM0.21 berbanding RM0.24 sebelumnya, manakala CGSI mengekalkan saranan 'tambah pegangan' dengan harga sasaran RM0.26, mengambil kira potensi pemulihan penggunaan pelantar, peluang kontrak baharu dan prospek peningkatan aktiviti penggerudian luar pesisir pada separuh kedua 2027.- DagangNews.com






