Saham Camaroe naik 14% kepada 16 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2025 • 10:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Camaroe naik 14% kepada 16 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

image is not available

02/10/2025 - 10:42

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Saham Camaroe Berhad dibuka pada harga 16 sen atau 14% lebih tinggi daripada tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 14 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE, Bursa Malaysia, hari ini.

Pada pukul 9.20 pagi, saham Camaroe mencatat paras tertinggi pada 16.5 sen sebelum susut sedikit kepada 15.5 sen, meningkat 1.5 sen atau 10.7%.

Sebanyak 46.7 juta saham bertukar tangan, menjadikannya antara kaunter paling aktif di sebelah pagi.

Ditubuhkan pada tahun 2009, Camaroe telah berkembang daripada hanya empat kolam ternakan kepada 138 kolam di lima ladang udang pesisir pantai serta sebuah fasiliti pemprosesan khusus di Kapar, Selangor.

Syarikat ini memproses udang harimau hitam hidup dan sejuk beku, sama ada dengan kepala dan kulit atau yang telah dikupas, untuk pengedar tempatan dan pengeksport ke China, Korea Selatan dan Taiwan.

Melalui IPO, Camaroe berjaya mengumpul hasil kasar sebanyak RM13.86 juta daripada terbitan 99 juta saham baharu.

Daripada jumlah itu, RM6.89 juta atau 49.7% diperuntukkan bagi pembinaan fasiliti pemprosesan baharu di Bukit Raja, manakala RM730,000 (5.3%) akan digunakan untuk pembelian jentera dan peralatan bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Sebanyak RM390,000 atau 2.8% diperuntukkan untuk pemasangan panel solar sebagai inisiatif kelestarian, manakala RM1 juta (7.2%) digunakan untuk penubuhan jabatan bioteknologi.

Baki RM960,000 (6.9%) pula akan digunakan sebagai modal kerja, manakala RM3.9 juta (28.1%) bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Camaroe, Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata, penyenaraian hari ini merupakan peristiwa penting dalam perjalanan kumpulan daripada ladang kecil pada 2009 kepada kumpulan akuakultur bersepadu sepenuhnya yang mengkhususkan diri dalam udang harimau hitam.

"Hasil IPO akan membolehkan kami membina kemudahan pemprosesan Bukit Raja yang baharu. Kami kekal komited untuk menyampaikan nilai jangka panjang sambil meletakkan Camaroe sebagai pemacu industri akuakultur Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan M & A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan berkata, penyenaraian Camaroe di Pasaran ACE adalah cerminan asas kukuhnya dan kisah pertumbuhan yang menarik.

Katanya, model bersepadu kumpulan, meluaskan jejak antarabangsa, dan komitmen terhadap biosekuriti dan kemapanan meletakkannya dengan baik untuk memanfaatkan permintaan global yang semakin meningkat untuk udang harimau hitam premium. - DagangNews.com

standard