Manforce Group fail draf prospektus bagi pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2025 • 2:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Manforce Group fail draf prospektus bagi pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE

image is not available

02/10/2025 - 14:15

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Syarikat pengambilan dan pengurusan pekerja, Manforce Group Berhad memfailkan draf prospektus bagi cadangan pemindahan penyenaraiannya dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Hasil yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) itu akan digunakan untuk mengembangkan kuota pengambilan pekerja baharu, menaik taraf sistem teknologi maklumat (IT), modal kerja serta menampung perbelanjaan berkaitan pemindahan penyenaraian.

Menurut prospektus itu, IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 79.9 juta saham baharu serta tawaran untuk jualan sebanyak 19.9 juta saham sedia ada.

Secara keseluruhan, penyenaraian itu akan menawarkan 25% pegangan dalam syarikat kepada para pelabur. Manforce telah disenaraikan di Pasaran LEAP sejak Disember 2018.

Manforce merupakan penyedia perkhidmatan sehenti dalam pengurusan tenaga kerja, dengan kepakaran dalam pengambilan serta pengurusan pekerja asing, selain perkhidmatan pembersihan projek.

Daripada 79.9 juta saham baharu tersebut, 19.9 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia dengan separuh daripadanya diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera.

Sebanyak 10 juta saham lagi akan diberikan kepada pihak yang layak, 29.9 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi penempatan persendirian, manakala baki selebihnya akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

Sementara itu, tawaran jualan akan dijalankan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Hasil daripada terbitan awam akan digunakan untuk pengembangan perniagaan melalui kuota pengambilan baharu, penambahbaikan sistem IT, modal kerja, serta perbelanjaan berkaitan pemindahan penyenaraian.

Dana yang diperoleh daripada tawaran jualan pula akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang saham tunggal yang menjual, iaitu Pengarah Urusan, Datuk Wong Boon Ming.

Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025, keuntungan selepas bersih Manforce melonjak lebih 73% kepada RM10.2 juta berbanding RM5.87 juta tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan hasil kepada RM181.1 juta berbanding RM145.5 juta sebelum ini, selain margin keuntungan yang turut berkembang.

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin serta ejen penempatan bagi IPO ini.- DagangNews.com

standard