Saham Peoplelogy susut 4% kepada 24 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

20/05/2025 - 10:49
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 20 Mei - Penyedia rumusan pembangunan modal insan, Peoplelogy Bhd membuat penampilan sulung yang hambar di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga 24 sen atau 4% lebih rendah berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.
Saham itu kemudian mencatatkan sedikit peningkatan untuk mencecah paras tertinggi 25.5 sen.
Pada 9.15 pagi, saham itu didagangkan pada 25 sen, selepas hampir 1.6 juta saham bertukar tangan.
Pada harga terakhir, syarikat itu bernilai RM103 juta, atau hampir 19 kali ganda pendapatannya pada 2024.
Ketika pelabur menjadi semakin berhati-hati dalam suasana pasaran yang tidak menentu, IPO di Pasaran ACE berdepan cabaran denan kesemua sembilan syarikat yang disenaraikan sejak Mac 2025 mencatatkan penurunan pad hari pertama dagangan.
IPO Peoplelogy pula menyaksikan permintaan yang hambar apabila permohonan daripada pelabur hanya cukup-cukup untuk menampung jumlah saham yang ditawarkan untuk langganan.
Hampir satu pertiga daripada hasil kutipan IPO akan digunakan untuk membina makmal simulasi komputer dan memperluas perisian penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Dana yang dikumpul juga akan digunakan untuk pengembangan pejabat dan pusat latihan di Indonesia, Filipina dan Malaysia Timur, serta penubuhan pejabat serantau di Singapura.
Baki dana akan digunakan untuk modal kerja am dan menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Tiada penjualan saham sedia ada dibuat, bermakna pemegang saham semasa tidak mengambil keuntungan daripada penyenaraian ini.
Pengasas dan Pengarah Urusan Peoplelogy, Allen Lee, merupakan pemegang saham terbesar selepas penyenaraian, dengan pegangan langsung sebanyak 24.27% dan 21.01% lagi secara tidak langsung melalui kenderaan pelaburan peribadinya. Isterinya, Lim Szu Yee, memiliki 4.69% saham dalam Peoplelogy.
Kumpulan itu turut disokong David Lim, yang menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat tersenarai, termasuk Press Metal Aluminium Holdings Bhd.
Pemegang saham utama lain termasuk Pengerusi syarikat tersenarai di Hong Kong, Infinity Logistics and Transport Ventures, Tan Sri Nelson Tan dan Aaron Chen Khai Voon, yang mempunyai pegangan besar dalam Seal Incorporated Bhd, Genetec Technology Bhd dan TSA Group Bhd.
Kenanga Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO ini. - DagangNews.com
standard

