amree28/10/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt — Saham Maxis Berhad susut pada sesi dagangan petang ini susulan laporan gergasi telekomunikasi itu memulakan semula pelan penggabungan dengan U Mobile Sdn Bhd.
Spekulasi langkah penggabungan dua syarikat tersebut dikatakan berpotensi melahirkan operator rangkaian tanpa wayar terbesar di Malaysia dari segi nilai pasaran.
Pada dagangan pukul 4.30 petang Rabu, saham Maxis menyusut sebanyak 16 sen atau kira-kira 4.38% kepada RM3.49 dengan sejumlah 3.98 juta saham bertukar tangan.
Laporan mendedahkan Maxis semakin hampir ke arah fasa rundingan rasmi selepas meminta kumpulan bank dan firma guaman terpilih untuk mengemukakan cadangan.
Transaksi berpotensi itu kini kembali memperoleh daya tarikan memandangkan kedua-dua belah pihak menunjukkan kesediaan untuk berunding mengenai penilaian kedudukan kewangan syarikat.
Nilai U Mobile dilaporkan boleh mencecah RM10 bilion atau lebih dalam perjanjian berkenaan, manakala Maxis ketika ini mempunyai nilai pasaran sekitar RM28.3 bilion.

Sekiranya digabungkan, nilai pasaran entiti baharu ini dijangka memintas CelcomDigi Berhad yang kini memegang permodalan pasaran sekitar RM29 bilion.
U Mobile dikawal oleh syarikat pelaburan tujuan khas, yang disokong oleh Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail bersama ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan.
Syarikat itu sebelum ini sudah dipilih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2024 untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.
Bagaimanapun, perbincangan masih di peringkat awal dan belum ada kepastian sama ada cadangan penggabungan tersebut akan mencapai persetujuan muktamad.
Wakil pemegang saham utama termasuk Usaha Tegas Sdn Bhd, Tan Sri Vincent Tan serta jurucakap syarikat terlibat enggan memberikan sebarang ulasan lanjut. - DagangNews.com




