Pegangan TS Wong dalam Zetrix AI terus susut kepada 1.85% selepas jual 3.13 juta saham

Business & Finance
21 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pegangan TS Wong dalam Zetrix AI terus susut kepada 1.85% selepas jual 3.13 juta saham Image from: Pegangan TS Wong dalam Zetrix AI terus susut kepada 1.85% selepas jual 3.13 juta saham amree21/10/2026 - 09:00 TS Wong Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Pegangan saham Pengarah Urusan Zetrix AI Berhad, Wong Thean Soon terus merosot kepada 1.85%, sekali gus menambah tekanan terhadap usaha syarikat itu menyelesaikan pelanggaran syarat perjanjian sukuk bernilai RM2 bilion menjelang tarikh akhir 22 Oktober 2026.

 

Perkembangan terbaharu itu menyusul langkah pelupusan sebanyak 3.13 juta saham Zetrix AI yang dilaksanakan beliau melalui syarikat pelaburannya, Asia Internet Holdings Sdn Bhd, pada 19 Oktober 2026 pada harga lima sen sesaham, bersamaan nilai transaksi RM156,500.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, pelupusan tersebut kali ini melibatkan kira-kira 0.04% pegangan saham syarikat dan mengurangkan pegangan tidak langsung beliau atau lebih dikenali sebagai TS Wong, kepada sebanyak 102.7 juta saham iaitu bersamaan 1.3%.

 

Beliau turut memiliki 43.18 juta saham secara langsung, yang bersamaan 0.55%, menjadikan jumlah pegangan langsung dan tidak langsungnya sebanyak kira-kira 145.88 juta saham atau 1.85%.

 

Pengurangan itu berlaku ketika Zetrix AI berusaha menangani pelanggaran syarat perjanjian yang menghendaki Wong kekal sebagai pemegang saham terbesar. Jika pelanggaran ini gagal diselesaikan, kumpulan itu perlu mendapatkan kelulusan pemegang sukuk bagi pengecualian terhadap syarat tersebut.

 

Tanpa pengecualian berkenaan, pelanggaran itu berpotensi mencetuskan pembayaran balik awal prinsipal sukuk RM2 bilion serta bayaran kupon masa depan berjumlah RM164.5 juta, menjadikan jumlah pendedahan berpotensi kira-kira RM2.16 bilion.

 

Zetrix_DagangNews2026

 

Pegangan Wong dilaporkan merosot daripada hampir 30% kepada kurang 2% sejak akhir Ogos susulan panggilan margin terhadap kemudahan pembiayaan bersandarkan sahamnya. Wong sebelum ini memberitahu The Edge bahawa pelupusan itu bukan dilakukan secara sukarela dan beliau mempertimbangkan tindakan undang-undang berhubung dakwaan pakatan sulit serta manipulasi harga saham.

 

Dalam perkembangan berasingan, Zetrix AI mengumumkan penarikan balik cadangan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 0.25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Dividen yang diisytiharkan pada 24 Ogos 2026 itu ditarik balik bagi memelihara modal kerja susulan perbelanjaan operasi luar jangka.

 

Dari sudut kedudukan kewangan, Zetrix AI mempunyai tunai RM541.6 juta dan aset digital RM532.88 juta, termasuk mata wang kripto, setakat akhir Jun 2026. Bagaimanapun, kumpulan itu turut menanggung pinjaman RM2.19 bilion serta pemiutang perdagangan, pemiutang lain dan akruan melebihi RM90 juta.

 

Zetrix AI juga mempunyai jumlah kutipan RM314 juta yang masih belum diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus menambah perhatian terhadap kedudukan kewangan dan keupayaan kumpulan menguruskan obligasi yang sedia ada.

 

Di Bursa Malaysia, saham Zetrix AI meningkat setengah sen atau 10% kepada 5.5 sen pada penutup 20 Oktober 2026, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM407.3 juta. Bagaimanapun, perkembangan pegangan pemegang saham utama dan risiko berkaitan sukuk kekal sebagai faktor penting yang perlu diperhatikan pelabur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved