amree20/10/2026 - 09:00 TS Wong Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt — Pengarah Urusan Zetrix AI Berhad, Wong Thean Soon menjual lagi 600,000 saham syarikat itu, sekali gus mengurangkan pegangan keseluruhannya kepada 1.887% ketika kumpulan berdepan tarikh akhir 22 Oktober 2026 bagi menangani pelanggaran syarat sukuk bernilai RM2 bilion.
Pelupusan saham itu berlaku ketika syarikat berusaha menyelesaikan pelanggaran kovenan sukuk yang mensyaratkan beliau kekal sebagai pemegang saham terbesar. Kumpulan sebelum ini akan mendapatkan kelulusan pemegang sukuk bagi pengecualian syarat jika isu itu gagal diselesaikan menjelang tarikh.
Tanpa pengecualian, pelanggaran tersebut berpotensi mencetuskan pembayaran balik awal prinsipal sukuk RM2 bilion serta pembayaran kupon masa depan berjumlah RM164.5 juta, sekali gus menjadikan jumlah potensi liabiliti mencecah pula sebanyak RM2.16 bilion.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, sebanyak 600,000 saham beliau atau lebih dikenali sebagai TS Wong, dijual pada harga lima sen sesaham, dengan nilai keseluruhan transaksi RM30,000. Saham berkenaan mewakili kira-kira 0.008% daripada jumlah saham syarikat.
Saham yang dilupuskan itu dipegang secara tidak langsung melalui Asia Internet Holdings Sdn Bhd. Selepas transaksi ini, beliau memegang 43.18 juta saham secara langsung, bersamaan 0.547%, manakala 105.83 juta saham lagi atau 1.34% dipegang secara tidak langsung melalui syarikat berkenaan.
Pelupusan terbaharu itu menyusuli beberapa siri penjualan saham secara paksa yang dikaitkan dengan panggilan margin terhadap kemudahan pembiayaan Wong yang disandarkan kepada saham. Perkembangan tersebut mengurangkan pegangan beliau daripada hampir 30% pada penghujung Ogos 2026.

Wong, sebelum ini pernah memberitahu The Edge Malaysia bahawa penjualan saham itu bukan dilakukan secara sukarela. Beliau turut menyatakan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang berhubung dakwaan konon ada berlaku pakatan sulit dan manipulasi harga saham syarikat.
Dalam perkembangan berasingan, Zetrix AI pada 19 Oktober 2026 menarik balik dividen interim tunggal pertamanya sebanyak 0.25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Dividen yang diumumkan pada 24 Ogos 2026 pada asalnya dijadualkan dibayar pada 20 November 2026.
Syarikat tersebut menjelaskan bahawa keputusan menarik balik dividen berkenaan dilaksanakan bagi mengekalkan modal kerja susulan perbelanjaan operasi yang tidak dijangka.
Dalam dagangan di Bursa Malaysia pada 19 Oktober 2026, saham Zetrix AI merosot 9.09% atau setengah sen kepada lima sen sesaham, iaitu paras terakhir pernah dilihat kira-kira 14 tahun lalu. Sebanyak 108 juta saham bertukar tangan.
Penurunan harga saham berkenaan sejak penghujung Ogos 2026 turut menghakis lebih 90% permodalan pasaran Zetrix AI.
Berdasarkan harga penutupan 19 Oktober 2026, nilai pasaran syarikat itu berjumlah RM394.9 juta, ketika kumpulan berdepan usaha menyelesaikan isu kovenan sukuk sebelum tarikh akhir 22 Oktober 2026. - DagangNews.com






