Saham Maxis diturunkan kepada Neutral, harga sasaran tidak berubah sebanyak RM3.90 - CGS

LocalBusiness & Finance
19 May 2025 • 11:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Maxis diturunkan kepada Neutral, harga sasaran tidak berubah sebanyak RM3.90 - CGS

image is not available

19/05/2025 - 11:45

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Untung bersih Maxis bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) sebanyak RM371 juta adalah sejajar dengan jangkaan CGS International dan konsensus Bloomberg, masing-masing merangkumi 25% daripada anggaran setahun penuh FY25.

Namun begitu, pertumbuhan hasil perkhidmatan hanya meningkat 0.2% tahun ke tahun, jauh di bawah anggaran 2.5% bagi FY25.

Firma penyelidikan itu turut menambah,pengurusan Maxis menjelaskan perubahan kaedah pengiktirafan hasil untuk perkhidmatan penjagaan peranti, dari asas hasil kasar kepada asas hasil bersih. Ini menjejaskan hasil mudah alih dan ARPU (hasil purata setiap pengguna) tetapi masih selari dengan anggaran.

Maxis mengekalkan panduan bagi FY25F, dengan unjuran pertumbuhan hasil perkhidmatan pada kadar satu digit manakala pertumbuhan EBITDA mendatar dan perbelanjaan modal (capex) di bawah RM1 bilion.

Pengurusan menekankan tumpuan Maxis bagi meningkatkan kesetiaan pelanggan dalam segmen pengguna melalui jualan silang produk, manakala dalam segmen perusahaan, Maxis meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur dan keupayaan untuk membangunkan asas hasilnya dalam jangka masa panjang.

Maxis mempunyai kira-kira 400 pelanggan bagi perkhidmatan solar rumah yang dilancarkan sejak akhir 2024. Pihak pengurusan menyatakan bahawa hasil daripada perkhidmatan ini akan dilaporkan secara berasingan apabila ia menjadi signifikan.

Pengurusan tertinggi turut menyatakan bahawa Maxis sedang meluaskan capaian gentian optik di kawasan tertentu yang dijangka dapat meningkatkan pulangan jangka panjang, dan ini telah diambil kira dalam panduan capex.

CGS International menurunkan saranannya terhadap saham Maxis daripada ‘tambah’ kepada ‘pegang’ selepas kenaikan harga saham sebanyak 9% sepanjang bulan lalu, yang kini menghadkan potensi kenaikan berbanding harga sasaran (TP) berasaskan GGM sebanyak RM3.93.

Pada paras semasa, saham Maxis diniagakan pada 19.7 kali unjuran P/E FY25F dan memberikan hasil dividen FY25F sebanyak 4.8%, yang dilihat CGS International sebagai munasabah berdasarkan unjuran pertumbuhan EPS CAGR sebanyak 3.4% bagi FY24-FY27.

CGS International mengekalkan pandangan, perkembangan mengenai hala tuju pelaksanaan 5G Maxis boleh menjadi pemangkin pergerakan harga saham seterusnya. - DagangNews.com

featured standard