
KUALA LUMPUR 17 Dis – UWC Bhd dijangka mencatat pertumbuhan hasil yang lebih kuat dalam beberapa bulan akan datang, yang akan menyokong pertumbuhan pendapatan syarikat walaupun awal tahun kewangannya sederhana, menurut penganalisis.
Pendapatan bersih bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Oktober 2025 (1QFY2026) menyumbang kurang daripada 20% kepada anggaran pendapatan setahun penuh penganalisis.
Bagaimanapun, konsensus penganalisis kekal positif prestasi pendapatan syarikat akan mengejar unjuran menjelang akhir tahun kewangan.
“Kami menjangkakan peningkatan berperingkat secara berterusan akan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan UWC untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh,” kata Hong Leong Investment Bank dalam satu nota penyelidikan, sambil mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham berkenaan.
Dalam dagangan Rabu, saham UWC meningkat setinggi 15 sen atau hampir 4% kepada RM4.12, paras tertinggi dalam tempoh lebih sebulan.
Saham itu telah melonjak hampir 30% setakat tahun ini, didorong oleh lonjakan pendapatan susulan pemulihan sektor semikonduktor.
Sentimen pelabur turut disokong oleh kerjasama Nvidia dengan salah satu pelanggan UWC bagi pembangunan bersama cip generasi baharu untuk pusat data dan komputer peribadi.
Saham UWC turut menerima penilaian positif hampir sebulat suara, dengan lima saranan ‘beli’ dan satu ‘pegang’ daripada penganalisis yang dipantau Bloomberg.
Penganalisis mengunjurkan keuntungan bersih sekitar RM98 juta bagi tahun kewangan semasa, manakala purata harga sasaran 12 bulan berada pada RM4.37.
Phillip Capital pula berkata pendapatan UWC yang bermula sebagai penyedia perkhidmatan kejuruteraan bahagian belakang (back-end) dan kini beralih kepada perniagaan margin lebih tinggi dalam pengeluaran subsistem untuk peralatan bahagian hadapan (front-end), akan terus disokong oleh pemulihan kukuh dalam tempahan semikonduktor.
Firma penyelidikan itu, yang mempunyai harga sasaran tertinggi bagi UWC pada RM4.98, menjangkakan penilaian semula harga saham akan dipacu oleh keterlihatan pendapatan yang lebih baik serta potensi kejutan pendapatan positif, disokong oleh pelaburan tambahan daripada pelanggan utama syarikat. - DagangNews.com

