sarah16/10/2026 - 18:43 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt – Saham Zetrix AI Bhd menjunam ke paras terendah baharu 5 sen pada Jumaat, ketika syarikat teknologi itu berdepan risiko melanggar syarat program sukuk bernilai RM2 bilion susulan penyusutan pegangan saham pemegang saham utamanya, Wong Thean Soon.
Pada penutupan dagangan, saham Zetrix AI berjaya mengurangkan sebahagian kerugian untuk ditutup pada 5.5 sen, namun masih merosot 15.38% berbanding harga penutupan 6.5 sen pada Khamis.
Kaunter itu menjadi saham paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia dengan hampir 255 juta saham bertukar tangan, manakala permodalan pasarannya menyusut kepada kira-kira RM444.33 juta berdasarkan harga penutupan 5.5 sen.
Kejatuhan harga saham itu berlaku ketika Zetrix AI mengumumkan bahawa pegangan langsung dan tidak langsung Thean Soon kini hanya berbaki 1.895%, selepas penjualan paksa saham oleh pihak bank.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, pegangan Thean Soon menyusut dengan ketara sehingga beliau tidak lagi menjadi pemegang saham tunggal terbesar Zetrix AI setakat 15 Oktober 2026.
Risiko langgar syarat sukuk, diberi tempoh hingga 22 Oktober
Perubahan pegangan tersebut menyebabkan Zetrix AI berdepan potensi pelanggaran aku janji di bawah Program Sukuk Wakalah yang mensyaratkan Thean Soon kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar syarikat, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Mengikut terma program berkenaan, Zetrix AI perlu mengambil langkah pembetulan dalam tempoh tujuh hari selepas menyedari ketidakpatuhan itu, dengan 22 Oktober 2026 ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk menyelesaikan isu tersebut.
Sekiranya gagal berbuat demikian, syarikat perlu mendapatkan persetujuan dan arahan pemegang sukuk menerusi resolusi luar biasa bagi menentukan tindakan selanjutnya.
Zetrix AI memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pemegang amanah sukuk berhubung perkara tersebut dan akan mengumumkan sebarang perkembangan penting dari semasa ke semasa.
Perkembangan itu menambah tekanan terhadap Zetrix AI yang berdepan beberapa cabaran sejak kebelakangan ini, dengan perhatian pasaran kini tertumpu kepada usaha syarikat menangani isu pematuhan syarat sukuk sebelum tarikh akhir yang ditetapkan. - DagangNews.com





