Saham EGH International dibuka pada 14.5 sen, susut 9.4% berbanding harga IPO pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Business & Finance
16 Oct 2026 • 11:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham EGH International dibuka pada 14.5 sen, susut 9.4% berbanding harga IPO pada penampilan sulung di Pasaran ACE Image from: Saham EGH International dibuka pada 14.5 sen, susut 9.4% berbanding harga IPO pada penampilan sulung di Pasaran ACE liza16/10/2026 - 11:09 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt – EGH International Bhd memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 14.5 sen sesaham, lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 16 sen, susulan permintaan yang agak lemah terhadap saham syarikat perkhidmatan kemasan dalaman itu.

 

Saham syarikat itu kemudian merosot kepada paras terendah 12 sen sebelum didagangkan pada 13 sen pada 9.15 pagi dengan lebih 35 juta saham bertukar tangan. 

 

Berdasarkan harga terakhir itu, permodalan pasaran EGH International berjumlah RM130 juta.

 

Penurunan berkenaan menyaksikan saham EGH International didagangkan 18.75% di bawah harga IPO, ketika pasaran menunjukkan sambutan yang kurang memberangsangkan terhadap saham syarikat itu pada hari pertama penyenaraiannya.

 

Pengurusan kekal yakin terhadap prestasi syarikat

Pengarah Urusan EGH International, Datuk Weslie Lim Yuk Meng berkata, beliau sangat yakin terhadap prestasi syarikat bagi tempoh akan datang susulan suku kewangan yang baru berakhir.

 

Beliau berkata, pergerakan harga saham dalam jangka pendek tidak semestinya mencerminkan prestasi keseluruhan syarikat.

 

“Harga saham merupakan gambaran sementara pasaran dalam jangka pendek dan mungkin tidak mewakili prestasi keseluruhan syarikat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian EGH International.

 

Sebelum penyenaraian, IPO EGH International menerima lebihan langganan sebanyak 2.6 kali dalam keadaan pasaran yang kurang memberangsangkan.

 

Buku tempahan tertunggak RM313.49 juta

Berpangkalan di Puchong, Selangor, EGH International terlibat terutamanya dalam perkhidmatan kemasan dalaman bangunan serta penjualan perabot, kelengkapan dan peralatan serta bahan binaan.

 

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai sektor termasuk hotel dan pusat peranginan, kemudahan penjagaan kesihatan, institusi pendidikan serta ruang istirahat lapangan terbang.

 

Ketika ini, EGH International mempunyai 18 projek yang sedang dilaksanakan dengan buku tempahan tertunggak bernilai kira-kira RM313.49 juta.

 

IPO kumpul RM57.6 juta untuk keperluan syarikat

IPO EGH International mengumpulkan RM57.6 juta, dengan RM38.4 juta diperoleh syarikat manakala baki RM19.2 juta diterima Datuk Doh Jee Ming menerusi penjualan saham sedia ada miliknya.

 

Daripada hasil IPO yang diterima syarikat, sebanyak RM14.4 juta diperuntukkan untuk membayar balik pinjaman, manakala RM13 juta akan digunakan bagi memenuhi keperluan modal kerja am.

 

Selain itu, EGH International memperuntukkan RM5 juta untuk pembinaan ibu pejabat, gudang dan bilik pameran baharu, sementara baki RM6 juta digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Berjaya Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved