
Pelumba negara dalam saingan FIM Women’s Circuit Racing World Championship (WEC), Saidatul Zakirah Zairin atau lebih dikenali sebagai Kirah, mempamerkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan wildcard CIVF di Litar Mugello, Itali di kedudukan keenam.
Keputusan tersebut dianggap cukup positif buat Kirah yang menggunakan perlumbaan berkenaan sebagai medan persediaan penting menjelang pusingan WEC di Mugello yang dijadual berlangsung pada September nanti.
Menurut Kirah, beliau pada mulanya agak kecewa dengan prestasi yang dipamerkan ketika sesi ujian pasukan apabila catatan masanya masih jauh daripada sasaran. Namun, maklum balas dan bimbingan daripada pasukan membantu beliau memahami karakter litar dengan lebih baik serta meningkatkan keyakinan menjelang hujung minggu perlumbaan.


“Hasil kerja keras pasukan, saya berjaya memulakan hujung minggu perlumbaan dengan catatan masa lebih tiga saat lebih pantas berbanding ketika sesi ujian. Ia membantu saya mendapatkan rentak lebih awal dan terus meningkatkan prestasi sepanjang perlumbaan,” katanya.
Peningkatan tersebut diterjemahkan apabila Kirah berjaya memperbaiki catatan masa sehingga tujuh saat lebih pantas berbanding sesi ujian pasukan sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam.
Beliau turut melakukan permulaan yang baik sebelum berjaya mempertahankan kedudukan tersebut hingga ke garisan penamat dengan kelebihan 3.624 saat di hadapan pencabar terdekat.





Kirah turut mengakui kerjasama erat bersama rakan sepasukan iaitu Beatrice Barbera (94) dan Matilde Contri (34) serta sokongan keseluruhan pasukan memainkan peranan besar dalam peningkatan prestasinya di Mugello.
Malah, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Team Principal, jurutera serta kru , Marco Agostini, Carlo dan kru mekanik, Guido, Riccardo da n Guglielmo yang sentiasa membantu dari aspek teknikal, analisis data dan pemahaman racing line sepanjang minggu perlumbaan.
Keputusan di Mugello ini pastinya memberikan suntikan moral terbaik buat Kirah dalam usahanya untuk terus bersaing di pentas FIM WEC musim 2026 yang semakin kompetitif.

The post Saidatul Zakirah Tunjuk Peningkatan Positif Di Mugello, Raih P6 Dalam Penampilan Wildcard CIVF appeared first on TW Media.


