Saifuddin minta Akmal Saleh tegur Tok Mat, pertahan kenyataan isu 'pembuli politik'

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 7:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Saifuddin minta Akmal Saleh tegur Tok Mat, pertahan kenyataan isu 'pembuli politik'
Saifuddin

SHAH ALAM – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad membidas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan kenyataannya berhubung isu membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, Muhamad Akmal sepatutnya menegur Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan bukannya menyalahkannya berhubung isu berkenaan.

Saifuddin berkata, beliau bukan individu yang memulakan isu berhubung tindakan Mohamad atau Tok Mat yang didakwa memperlekehkan Aminuddin.

"Akmal patut gunakan ruang untuk tegur Tok Mat, bukan saya yang mulakan isu perlekehkan Menteri Besar Negeri Sembilan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Muhamad Akmal mendakwa beberapa pemimpin UMNO terus menjadi sasaran pelabelan dan kritikan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, beliau berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini dilabel dengan pelbagai gelaran termasuk 'budak-budak', 'lembab', 'rasis' dan 'pendek'.

Dakwanya, situasi sama kini mula berlaku di Negeri Sembilan apabila Tok Mat pula kini mula dilabel sebagai 'pembuli'.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut mendakwa Muhamad Akmal sering melihat kesalahan orang lain, namun terlupa terhadap kesalahan sendiri.

Menurutnya, budaya melabel bukan perkara baharu kerana beliau mendakwa Muhamad Akmal sendiri sering berbuat demikian, malah Profesor Tajuddin Rasdi dari UCSI lebih awal melabel Akmal sebagai 'pembuli politik'.

Dalam hantaran sama, Saifuddin turut mendakwa Muhamad Akmal terkenal dengan sikap anti-Cina dan tidak ikhlas ketika memohon maaf berhubung isu berkenaan.

Beliau turut mendakwa, MCA tidak pernah berani mengambil pendirian tegas mengenai perkara itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan beliau kekal dengan pendiriannya bahawa Tok Mat ialah 'pembuli Tok Min'.

Katanya, Muhamad Akmal tidak perlu mencampuri perkara itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu peletakan jawatan Exco Melaka.

"Jangan selindung di sebalik nama TYT. Jika tidak faham, baca semula Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka Fasal 7(6)," tambahnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved