Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa proses bedah siasat terhadap mayat bukanlah bidang kuasa polis, sebaliknya dijalankan oleh pihak hospital.
Beliau menyatakan rasa kecewa apabila polis dipersalahkan dalam kes kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir, sedangkan semua prosedur siasatan telah diikuti.

Menurutnya, laporan polis hanya dibuat selepas ibu mangsa mendakwa menemui kesan lebam pada jenazah, sekali gus mencetuskan cadangan untuk menggali semula kubur demi mencari kebenaran.
Saifuddin menambah, sekiranya Zara meninggal dunia di lokasi kejadian, polis sudah tentu akan mengarahkan bedah siasat dijalankan serta-merta.
Baca juga:
Kronologi kes Zara Qairina
Zara ditemui tidak sedarkan diri di longkang berdekatan asrama sekolah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Ketika dibawa ke hospital, mangsa masih bernyawa dan pihak perubatan memberi tumpuan menyelamatkan nyawanya, bukannya mengaitkan insiden itu dengan unsur buli.

Kes ini menimbulkan kemarahan orang ramai serta pelbagai spekulasi kerana dikatakan tiada bedah siasat dijalankan pada peringkat awal.
Polis kemudiannya menubuhkan pasukan petugas khas dari Bukit Aman, manakala Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan inkues bagi menentukan punca sebenar kematian.
Sumber: MalaysiaKini
The post Saifuddin sedih, polis dipersalahkan isu bedah siasat Zara Qairina appeared first on The Reporter.

