Sakit mental, kemurungan hingga tidak mampu bekerja boleh mohon pencen PERKESO

LocalHealth & Fitness
19 Oct 2026 • 10:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sakit mental, kemurungan hingga tidak mampu bekerja boleh mohon pencen PERKESO Image from: Sakit mental, kemurungan hingga tidak mampu bekerja boleh mohon pencen PERKESO johardy19/10/2026 - 10:47 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt - Pekerja yang mengalami kemurungan serius atau penyakit mental sehingga tidak lagi berupaya bekerja boleh dipertimbangkan untuk menerima Pencen Ilat bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tertakluk kepada penilaian perubatan dan syarat kelayakan ditetapkan.

 

Antara penyakit yang boleh dinilai di bawah Skim Keilatan ialah gangguan kemurungan utama (Major Depressive Disorder), skizofrenia dan gangguan keresahan yang serius, kata Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, Azirruan Arifin.

 

Menurutnya, penyakit psikiatri atau masalah kesihatan mental turut diiktiraf dalam perlindungan keselamatan sosial apabila keadaan itu menyebabkan seseorang pencarum mengalami keuzuran yang menjejaskan keupayaannya untuk bekerja.

 

"Jika keadaan itu menyebabkan seseorang mengalami keuzuran sehingga menjejaskan keupayaan untuk bekerja, ia boleh dinilai bagi tujuan faedah keilatan, tertakluk kepada penilaian Jemaah Doktor PERKESO serta syarat yang ditetapkan," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

 

Menurut Azirruan, rekod rasmi PERKESO menunjukkan terdapat kes penyakit psikiatri atau kesihatan mental yang disahkan dan diluluskan sebagai keilatan pada setiap tahun.


 

Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, Azirruan Arifin
Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, Azirruan Arifin

 


Kelulusan itu membolehkan pencarum yang memenuhi syarat menerima faedah di bawah Skim Keilatan, termasuk Pencen Ilat bulanan serta kemudahan rawatan perubatan berkaitan, tertakluk kepada peruntukan dan penilaian ditetapkan.

 

Bukan semua kes kemurungan layak menerima pencen

Azirruan menjelaskan, penilaian perubatan dan psikiatri merupakan aspek penting bagi membantu Jemaah Doktor PERKESO menentukan tahap keuzuran seseorang pencarum serta kesannya terhadap keupayaan untuk bekerja.

 

Katanya, pencarum perlu menjalani rawatan dan pemantauan perubatan sewajarnya supaya keadaan kesihatan mereka dapat dinilai secara menyeluruh sebelum keputusan mengenai keilatan dibuat.

 

Bagi kes tertentu, tempoh rawatan dan pemantauan berterusan sekurang-kurangnya setahun diperlukan untuk membolehkan pakar perubatan menilai perkembangan penyakit, tindak balas terhadap rawatan serta tahap pemulihan pencarum.

 

Penilaian itu juga penting bagi menentukan sama ada keadaan kesihatan seseorang telah mencapai tahap kesembuhan maksimum (Maximum Medical Improvement atau MMI).

 

Selain itu, Jemaah Doktor PERKESO perlu menentukan sama ada keuzuran yang dialami bersifat berkekalan sehingga menjejaskan keupayaan pencarum untuk bekerja.

 

"Bagaimanapun, keputusan mengenai keilatan tertakluk kepada penilaian perubatan dan keputusan Jemaah Doktor PERKESO berdasarkan keadaan serta fakta setiap kes," katanya.

 

Trauma di tempat kerja turut boleh dipertimbangkan

Dalam perkembangan berkaitan, Azirruan berkata, masalah kesihatan mental akibat trauma di tempat kerja seperti gangguan stres pascatrauma (PTSD) juga boleh dipertimbangkan untuk menerima faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

 

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu perlu mendapat pengesahan klinikal daripada pakar psikiatri serta mempunyai hubungan yang jelas dengan faktor atau kejadian berkaitan pekerjaan.

 

"Gangguan mental akibat trauma di tempat kerja seperti gangguan stres pascatrauma (PTSD) boleh dipertimbangkan di bawah Skim Bencana Pekerjaan sekiranya terdapat pengesahan klinikal serta kaitan jelas dengan pekerjaan dan melalui penilaian perubatan serta syarat kelayakan ditetapkan," katanya.

 

Beliau berkata, isu kesihatan mental semakin penting dalam persekitaran pekerjaan masa kini berikutan pelbagai bentuk tekanan dan perubahan suasana kerja berbanding masa lalu.

 

Sehubungan itu, PERKESO turut terbabit dalam usaha mempromosikan langkah menangani masalah kesihatan mental dalam organisasi dan di tempat kerja.

 

Menurutnya, perlindungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan bagi kes berkaitan trauma pekerjaan tetap bergantung kepada pengesahan klinikal, hubungan dengan pekerjaan serta penilaian perubatan mengikut syarat yang ditetapkan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved