Tahukah anda, pencarum PERKESO yang layak, boleh membuat tuntutan 80 peratus daripada gaji harian anda jika anda cuti sakit (MC) disebabkan oleh kemalangan atau penyakit berkaitan kerja?
Ya, anda boleh menuntut bayaran wang tunai daripada PERKESO jika cuti sakit (MC) tersebut disebabkan oleh kemalangan atau penyakit berkaitan kerja.
Di bawah Skim Bencana Pekerjaan, pampasan yang dikenali sebagai Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) akan membayar ganti pendapatan sebanyak 80% daripada purata gaji harian anda.
Jom rujuk perinciannya di bawah.
Apa Itu Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS)?
Faedah Hilang Upaya Sementara dibayar kepada pekerja sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan. Walau bagaimanapun, Faedah Hilang Upaya Sementara TIDAK akan dibayar pada hari di mana pekerja hadir bekerja dan dibayar gaji.
Kadar harian Faedah Hilang Upaya Sementara adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Kadar minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM158.67 sehari.

Syarat Buat Tuntutan PERKESO Jika MC atau Cuti Sakit
Untuk melayakkan anda menuntut Faedah Hilang Upaya Sementara, syarat-syarat berikut mestilah dipenuhi:
- Punca Berkaitan Pekerjaan: Cuti sakit mestilah disebabkan oleh kemalangan semasa bekerja, kemalangan semasa perjalanan (pergi/balik kerja atau urusan rasmi), atau akibat “Penyakit Khidmat” (penyakit yang disahkan berpunca daripada persekitaran tempat kerja, contohnya asma akibat bahan kimia tempat kerja).
- Tempoh Minimum Cuti Sakit (MC): Tempoh cuti sakit mestilah sekurang-kurangnya 4 hari berturut-turut (termasuk hari kemalangan berlaku).
- Tidak Hadir Bekerja: Anda mestilah tidak hadir ke pejabat atau bekerja (tiada pergerakan bertugas) sepanjang tempoh 4 hari MC tersebut. PERKESO tidak akan membayar faedah bagi hari di mana pekerja hadir bekerja dan menerima gaji.
- Had Umur: Terbuka kepada pekerja yang berumur di bawah 60 tahun yang mempunyai caruman aktif di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Dokumen Diperlukan
Dokumen yang diperlukan (kemalangan dalam premis)
- Kad pengenalan – pekerja – 1 salinan
- Sijil cuti sakit asal @ m.c original
- Punch kad @ bukti kedatangan – 1 salinan
- Slip gaji 6 bulan terakhir (sebelum kemalangan) – 1 salinan
- Memo rawatan awal klinik @ hospital – 1 salinan
Dokumen tambahan (kemalangan jalan raya)
Semua dokumen yang disenaraikan di atas DAN:
- Laporan polis (asal)
- Peta lakar (perlu nyatakan nama jalan, tempat kerja, tempat kemalangan & alamat rumah) – lukis sendiri saiz a4

Jenis Kemalangan yang Boleh Dituntut
1. Kemalangan semasa menjalankan pekerjaan
Kemalangan yang ditimpa ketika berada di tempat kerja atau sedang menjalankan urusan kerja.
Contoh: terjatuh semasa bekerja di pejabat atau cedera semasa menghantar produk syarikat.
2. Kemalangan semasa dalam perjalanan
Kemalangan yang berlaku semasa anda dalam perjalanan:
- Mengikut laluan di antara tempat kediamannya atau tempat tinggalnya dengan tempat kerjanya.
- Dibuat bagi apa-apa sebab yang secara langsung berkaitan dengan penggajiannya.
- Di antara tempat kerjanya dengan tempat pergi makan dalam masa rehat yang dibenarkan.
Contoh: terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
3. Kemalangan semasa kecemasan
Kemalangan yang berlaku semasa pekerja berada dalam atau berdekatan dengan mana-mana premis tempat bekerjanya bagi tujuan menyelamatkan, membantu atau melindungi orang yang mendapat bencana atau bahaya semasa kecemasan.
Contoh: cedera semasa cuba membantu rakan sekerja ketika kebakaran di pejabat.
Kemalangan Luar Waktu Bekerja (Skim LINDUNG 24 JAM)
Di bawah skim terbaharu PERKESO yang berkuat kuasa, pekerja domestik dan pekerja yang mencarum kini turut dilindungi daripada kemalangan peribadi yang berlaku di luar waktu bekerja 24 jam sehari di dalam Malaysia. Ini bermaksud tuntutan boleh dibuat bagi kecederaan akibat:
- Kemalangan domestik (contohnya: jatuh tangga di rumah sendiri pada hari minggu).
- Kecederaan semasa melakukan aktiviti rekreasi, bersukan, bercuti, atau membeli-belah.
Cara Buat Tuntutan PERKESO Jika MC Atau Cuti Sakit
Untuk membuat tuntutan PERKESO bagi cuti sakit (MC), anda boleh melakukannya melalui Portal LINDUNG Faedah dan juga melalui aplikasi secara dalam talian. Berikut adalah langkah-langkah terperinci:
Melalui Portal LINDUNG Faedah:
- Layari Portal LINDUNG Faedah.
- Jika anda belum memiliki akaun, daftar sebagai pengguna baru. Jika sudah, log masuk menggunakan maklumat pengenalan diri anda.
- Isi Borang Tuntutan:
- Pilih jenis tuntutan yang sesuai (seperti Faedah Hilang Upaya Sementara jika MC adalah akibat kemalangan kerja).
- Isi semua maklumat yang diperlukan dengan tepat.
- Sertakan Dokumen Sokongan:
- Muat naik dokumen sokongan yang diperlukan seperti:
- Salinan kad pengenalan.
- Laporan perubatan berkaitan MC.
- Cuti sakit jika ada.
- Muat naik dokumen sokongan yang diperlukan seperti:
- Hantar Tuntutan:
- Pastikan semua maklumat tepat dan lengkap sebelum menghantar permohonan.
- Simpan salinan permohonan untuk rujukan.
- Tunggu Proses:
- Permohonan anda akan diproses oleh PERKESO. Pantau status tuntutan melalui portal.
Tuntutan Melalui Syarikat:
- Bagi MC dekat HR: Anda cuma perlu hantar semua surat cuti sakit (MC asal) daripada doktor atau hospital kepada bahagian HR syarikat.
- Beritahu HR: Maklumkan dengan jelas berapa hari anda cuti sakit.
- Syarikat buat secara online: Pihak HR syarikat yang akan tolong masukkan dan hantar tuntutan anda secara digital melalui sistem komputer (Portal Matrix PERKESO).
- Wajib buat laporan polis: Kalau anda eksiden masa pergi/balik kerja atau eksiden kat tempat kerja, anda mesti buat report polis dulu sebelum HR boleh teruskan permohonan.


Permohonan Manual
Anda juga boleh membuat permohonan tuntutan PERKESO secara manual dengan mengisi Borang 34 di bawah. Borang permohonan tuntutan yang lengkap boleh dihantar sama ada melalui serahan di kaunter ATAU melalui pos di mana-mana pejabat PERKESO berhampiran.

Borang Butiran Notis Dan Tuntutan Faedah – Borang 34
Dapat Gaji Penuh Tak Boleh ‘Claim’ PERKESO?
Undang-undang menetapkan konsep “Tiada Double Claim”. Ini bermaksud:
- Kalau dapat Gaji Penuh: Kalau sepanjang anda cuti sakit itu syarikat tetap bayar gaji penuh macam biasa, bila duit PERKESO (80%) masuk nanti, syarikat ada hak untuk minta semula duit PERKESO itu. Sebabnya syarikat dah tanggung gaji anda.
- Kalau Cuti Tanpa Gaji (Gaji Kena Potong): Kalau sepanjang cuti sakit itu syarikat tak bayar gaji anda (Unpaid Leave), maka duit PERKESO (80%) itu sepenuhnya milik anda. Anda boleh simpan untuk buat belanja sara hidup.
- Kalau Masuk Kerja: Hari yang anda datang kerja dan dapat gaji, PERKESO memang tak akan bayar elaun MC untuk hari tersebut.
Lain-lain Tuntutan PERKESO
Selain MC dan kemalangan, pencarum juga boleh membuat tuntutan berikut:
- FAEDAH PERUBATAN
- FAEDAH HILANG UPAYA SEMENTARA
- FAEDAH HILANG UPAYA KEKAL
- ELAUN LAYANAN SENTIASA
- KEMUDAHAN PEMULIHAN JASMANI / VOKASIONAL
- FAEDAH ORANG TANGGUNGAN
- FAEDAH PENGURUSAN MAYAT
- FAEDAH PENDIDIKAN
Muat turun PDF Manual Pengguna Permohonan Faedah
MANUAL PENGGUNA PORTAL PERMOHONAN FAEDAHDownloadMuat turun PDF Manual Pengguna Permohonan Faedah
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk: Skim Bencana Pekerjaan PERKESO. Anda boleh muat turun borang-borang berkaitan di sini.
Hubungi PERKESO melalui saluran berikut:
- Email: eis@perkeso.gov.my
- Hotline: 1 300 22 8000
- Alamat: Employment Insurance System Office, Level 15, Wisma PERKESO, No. 155 Jalan Tun Razak 50400 Kuala Lumpur
Soalan Lazim Cara Claim PERKESO Jika MC Atau Cuti Sakit
Adakah demam biasa, cirit-birit, atau sakit gigi boleh buat tuntutan PERKESO?Tidak boleh. PERKESO tidak membayar cuti sakit bagi penyakit biasa. Cuti sakit (MC) hanya layak dituntut jika ia berpunca daripada kemalangan di tempat kerja, kemalangan jalan raya semasa urusan kerja (termasuk ulang-alik harian), atau akibat Penyakit Khidmat (penyakit kronik akibat persekitaran tempat kerja). Untuk skim 24 jam pula, tuntutan adalah untuk kemalangan di luar waktu bekerja.
Berapa hari minimum MC baru boleh buat tuntutan?Tempoh cuti sakit mestilah sekurang-kurangnya 4 hari berturut-turut (termasuk hari pertama kemalangan berlaku). Jika MC kurang daripada 4 hari, tuntutan tidak layak diproses.
Anda akan menerima 80% daripada purata gaji harian anggapan pekerja bagi hari-hari anda bercuti sakit.
Adakah PERKESO akan bayar cuti sakit jika majikan masih bayar gaji penuh?Tidak. Faedah ini adalah untuk menggantikan pendapatan yang hilang. Jika anda mengambil MC tetapi majikan tetap membayar gaji penuh untuk hari-hari tersebut, PERKESO tidak akan membayar faedah harian bagi tempoh berkenaan.
Bolehkah saya claim sendiri tanpa bantuan majikan?Boleh. Walaupun digalakkan melalui bahagian HR majikan (secara atas talian menerusi Portal ASSIST), anda atau waris boleh hadir sendiri ke mana-mana cawangan pejabat PERKESO terdekat jika majikan lambat bertindak atau enggan bekerjasama.





