Sakitnya jadi mangsa banjir

17 Nov 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sakitnya jadi mangsa banjir

Setiap kali banjir, ada ‘harga’ yang perlu dibayar. Keringat dan kerugian dihadapi mangsa-mangsa bencana alam ini bukan sedikit tetapi mampu menjangkau ribuan ringgit.

Perabot rosak, dokumen hilang dibawa air, barangan keperluan termasuk kenderaan terendam banjir, rumah berlumpur dan semua perlu dibersihkan.

Kerosakan ini bukan boleh selesai dalam masa sehari dua tetapi berbulan dan mungkin tahun. Wang yang perlu dikeluarkan bukan sedikit tetapi jumlah yang besar.

Seorang mangsa banjir di Kampung Melayu Subang ketika ditemui baru-baru ini mendedahkan dia kerugian kira-kira RM10,000 selepas rumah dan kenderaan ditenggelami air.

Kita tidak tahu mungkin ada yang terpaksa meminjam, menggadai barangan termasuk emas demi membina kehidupan selepas banjir.

Hujan yang membawa kesejukan bertukar igauan ngeri apabila mereka terpaksa bersiap sedia menghadapi kemungkinan kediaman ditengelami air.

Bagi mereka yang tidak pernah menjadi mangsa banjir, mungkin mudah untuk mengatakan bahawa bencana itu hanya berlaku beberapa hari dan kemudian habis.

Namun pada hakikatnya, derita yang ditanggung bukan sekadar melihat air naik dan memasuki rumah sebaliknya kesukaran meneruskan kehidupan selepas air surut.

Lebih menyakitkan apabila harta benda tidak dilindungi insurans. Laporan akhbar ini menyebut 23 juta kenderaan tiada insurans banjir manakala hanya 27 peratus pemilik mengambil perlindungan khusus untuk banjir.

Tiada perlindungan bermakna mangsa bah perlu menanggung kos baik pulih mencecah ribuan atau ratusan ringgit dengan simpanan sendiri.

Setiap kali air naik, mangsa banjir terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa dengan ada antaranya hanya sempat membawa dokumen penting dan pakaian, tidak kurang juga keluar sehelai sepinggang.

Selepas banjir surut, keringat dan wang ringgit diperlukan untuk ‘menghidupkan’ kembali kediaman mereka.

Setakat semalam, seramai 2,484 mangsa daripada 764 keluarga di tiga negeri, Perak, Selangor dan Pulau Pinang berlindung di 20 PPS.

Hujan bukan boleh ditahan-tahan, ditolak ke sana atau ke tempat lain. Siang hari kemas banjir lumpur malam kembali naik air. Punca dan penyebab bah telah diketahui namun penyelesaian masih belum menampakkan hasil.

Ada antara kita, apabila jalan digenangi air yang menyebabkan mereka terpaksa mengikut laluan lebih jauh sudah bising, apatah lagi mangsa- mangsa banjir.

Bayangkan penduduk Kampung Melayu Subang, Sungai Buloh yang berdepan banjir sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan hari. Tekanan pasti wujud, jangan biarkan mangsa banjir menanggung derita sendirian. Banjir mungkin surut dalam beberapa hari tetapi bagi mereka kesan dan kepedihan ditanggung boleh berpanjangan.

Sakitnya menjadi mangsa banjir bukan hanya ketika air naik, tetapi apabila terpaksa bermula semula selepas segala-galanya musnah.

Wahai pihak berkuasa, penduduk tidak mahu janji kosong tetapi penyelesaian jangka panjang yang siap dalam masa singkat. Kita masih di fasa Monsun Timur Laut, masih banyak fasa bah akan berlaku, sakitnya penduduk tanggung.

The post Sakitnya jadi mangsa banjir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved