
KAJANG - Mana-mana pihak yang diberi tanggungjawab menguruskan dana awam perlu melaksanakan tugas dengan penuh integriti atau berdepan tindakan undang-undang, termasuk penahanan dan pendakwaan sekiranya terbabit dalam penyalahgunaan amanah.
Amaran itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan dana, termasuk wang disalurkan menerusi TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Beliau berkata, pengurusan dana berkenaan bukan sekadar memerlukan kepakaran kewangan, sebaliknya menuntut tanggungjawab serta kejujuran pihak yang diamanahkan mengendalikannya.
“Setiap dana, sama ada TEKUN, Bank Rakyat atau Amanah Ikhtiar, mesti diuruskan dengan baik. Wang ini adalah amanah. Sesiapa yang mengkhianatinya akan ditangkap dan didakwa. Kita perlu memastikan perkara ini demi kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan membanteras ketirisan, penyelewengan dan rasuah turut memberi ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan bantuan kepada rakyat, walaupun berdepan kutipan cukai serta hasil negara yang lebih rendah.
Katanya, keupayaan kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan bukan semata-mata bergantung kepada peningkatan hasil, tetapi turut didorong pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin.
Beliau berkata, masih terdapat pihak yang mempersoalkan kemampuan kerajaan menambah peruntukan ketika hasil negara dan kutipan cukai menunjukkan penurunan.
“Ini dapat dilakukan kerana tiada ketirisan, penyelewengan atau rasuah. Insya Allah, apabila wang diuruskan dengan baik, kita memperoleh keberkatan dan dapat terus membantu rakyat,” katanya.
Sebagai contoh, beliau menyatakan kerajaan memperuntukkan RM18 bilion bagi menampung pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam, manakala RM16 bilion disediakan untuk pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah bantuan yang disediakan ketika ini masih belum dapat memenuhi semua keperluan rakyat. Sehubungan itu, usaha memperluaskan bantuan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menyentuh dakwaan kononnya Kelantan dipinggirkan kerajaan Persekutuan, Anwar menegaskan perbezaan fahaman dan pentadbiran politik tidak sepatutnya menjejaskan kebajikan rakyat di negeri berkenaan.
“Kerajaan telah mengembalikan bantuan kepada sekolah agama pada 2022, diikuti pemberian insentif kepada guru agama pada 2023.
“Pada 2024 pula, beberapa bangunan sekolah agama yang berada dalam keadaan uzur dan mengalami kerosakan serius pula telah dibaik pulih,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, langkah berkenaan diambil selepas kerajaan mendapati sistem bantuan terdahulu tidak dilaksanakan secara adil.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan membantu institusi pendidikan agama dan golongan berpendapatan rendah menerusi pelbagai inisiatif, termasuk STR dan SARA.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; serta Pengerusi Media Prima Berhad merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid. - Getaran, 2 November 2026






