Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (29 Oktober), tular di media sosial hantaran mengenai skrin diod pemancar cahaya (LED) di Kluang, Johor yang didakwa menayangkan gambar dan video lucah.
Menerusi hantaran tular, dapat dilihat skrin LED di beberapa lokasi di kawasan Kluang antaranya seperti Dataran Tasik Kluang, Taman Intan menghala bandar Kluang dan kawasan sekitar bagi laluan menghala ke Kahang menayangkan tayangan berunsur 18SX itu.
Insiden melibatkan skrin LED Outdoor di kawasan bawah Majlis Perbandaran Kluang (MPK) itu nyata mendapat perhatian sehingga mengundang rasa kurang senang kepada mereka yang melihat.
Malah, ada yang mahu MPK menutup kesemua paparan LED terbabit serta menyeru ibu bapa mengelakkan daripada membawa anak mereka ke tempat berkaitan.
View on Threads
MPK Sahkan Sistem Paparan LED Telah Digodam, Jalankan Siasatan Berhubung Isu Terbabit
Malam tadi (29 Oktober), MPK dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa sistem paparan LED berkenaan telah digodam.
Malah, mereka turut memohon maaf kepada pihak yang terkesan dengan tayangan terbabit dan akan menjalankan siasatan dalaman bersama vendor terlibat berhubung isu itu.
“Majlis Perbandaran Kluang (MPK) ingin memaklumkan bahawa sistem paparan LED milik MPK telah mengalami insiden pencerobohan siber (penggodaman).
“Sehubungan dengan itu, siasatan lanjut sedang dilaksanakan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengambil langkah pemulihan dan memperkukuh tahap keselamatan sistem.
“MPK memohon maaf atas segala kesulitan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Kluang susulan insiden ini,” tulis mereka.
MPK Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Kepada Pihak Yang Cuba Jatuhkan, Pandang Serius Isu Berkenaan
Pada masa sama, MPK menjelaskan pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan mereka.
“MPK memandang serius dan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian tersebut serta akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan dan memburukkan nama baik dan imej MPK,” tulis mereka lagi.
EXCO Johor Sahkan Ada Terima Laporan Berhubung Isu Berkenaan
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
“Untuk makluman, sistem LED itu digodam dan pihak MPK sudah mengambil tindakan segera dengan menutup semua skrin LED,” jelasnya.
Sebagai info, MPK memang ada menyediakan perkhidmatan penyewaan Screen Outdoor LED di beberapa kawasan antaranya di Taman Intan, Laman Merdeka dan beberapa lagi.
Harga sewaannya pula adalah berbeza mengikut durasi video, tempoh pengiklanan dan juga lokasi.

Baca Artikel Berkaitan: Muat Naik Beberapa Hantaran Video Lucah, Akaun Rasmi Facebook SPA Perak Digodam
Baca Artikel Berkaitan: Prasarana Sahkan Sistem Dalaman Digodam, Sedang Usaha Untuk Selesaikan Kes





