
ISTANBUL – Bintang sensasi Mesir, Mohamed Salah mengesahkan masa depannya selepas bersetuju dengan terma kontrak yang ditawarkan untuk berhijrah ke kelab Liga Turkiye, Trabzonspor dengan kontrak sehingga 2028.
Salah yang dilaporkan bakal menandatangani kontrak lumayan dengan gaji sekitar €22 juta (RM103 juta) setahun telah disambut oleh ribuan penyokong Trabzonspor kelmarin.
Pemain berusia 34 tahun yang meninggalkan Liverpool secara persetujuan bersama itu mengakui sangat teruja dengan lembaran baharu dalam kariernya.
“Saya dapat mendengar sorakan anda, saya harap dapat bertemu anda semua tidak lama lagi,” kata Salah yang bakal menyarung jersi No. 10 nanti.
Bagaimanapun, keputusan Salah untuk menyertai Trabzonspor mengejutkan ramai pihak, termasuk legenda The Reds, Jamie Carragher yang menganggap bintang Mesir itu masih layak beraksi di liga lebih kompetitif.
Menurut Carragher, Liga Turkiye tidak sepadan dengan kemampuan dan status Salah yang dianggap memiliki nama besar persis Cristiano Ronaldo.
“Impak Salah seperti Ronaldo dan statistik (gol) sangat penting baginya. Dia sememangnya mampu mencapai perkara itu di Liga Turki, tetapi saya jangka dia mahu ke Serie A bersama kelab besar seperti Juventus atau AC Milan,” katanya.
“Saya fikir Salah dengan mudah boleh bermain di Itali dan bukannya di liga yang di tahap rendah seperti ini,” katanya. – AGENSI
The post Salah sah sertai Trabzonspor appeared first on Kosmo Digital.



