Saliran perkukuh kedudukan O&G menerusi pakatan strategik syarikat dari China dan Malaysia

07/08/2025 - 11:47
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Saliran Group Berhad, pembekal dan pengedar paip serta produk keluli industri minyak dan gas (O&G), menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Maoming Port Group Co., Ltd dari China dan PCA Group Sdn. Bhd dari Malaysia bagi meneroka peluang kerjasama rentas sempadan dalam sektor O&G.
Melalui MoU tersebut, ketiga-tiga pihak akan membangunkan rangka kerja untuk pertukaran teknikal, integrasi perindustrian serta perluasan jangkauan pasaran ke peringkat antarabangsa dengan tumpuan terhadap inovasi teknologi, penyelidikan bersama dan pembangunan mampan.
MPG, sebuah syarikat milik kerajaan China yang berpangkalan di Wilayah Guangdong, terlibat secara aktif dalam logistik pelabuhan, kejuruteraan petrokimia dan perkhidmatan perundingan.
PCA pula merupakan syarikat kejuruteraan industri Malaysia yang menyediakan penyelesaian menyeluruh merangkumi reka bentuk, pelaksanaan dan sokongan teknikal untuk pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, makanan dan minuman serta telekomunikasi.
Pengarah Urusan Saliran, Liaw Choon Wei berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting untuk memperkukuh keupayaan teknikal syarikat dan memperluaskan pengaruh dalam industri O&G di dalam dan luar negara.
“Kami percaya sinergi bersama MPG dan PCA akan memperkukuh kecekapan operasi serta membuka laluan baharu untuk pertumbuhan mampan.
“Fokus kami adalah untuk meneroka pelbagai segmen bernilai tambah dalam industri minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, inisiatif ini juga sejajar dengan strategi pertumbuhan jangka panjang Saliran untuk memperluas pasaran di Asia Tenggara selain menyokong usaha peralihan industri ke arah amalan lebih mampan dan berteraskan teknologi.
“Saliran kini bertambah kukuh di Malaysia serta pasaran serantau termasuk Indonesia, Singapura, China, Korea Selatan dan Vietnam untuk membekalkan produk paip, kelengkapan dan komponen penyambung paip industri berkualiti tinggi.
“Di bawah kerangka kerjasama ini, kesemua pihak akan menganjurkan forum dan seminar berkaitan teknologi penapisan karbon rendah, pengeluaran bersih, bahan petrokimia termaju, teknologi kilang pintar serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Selain itu, kerjasama turut melibatkan lawatan makmal, demonstrasi teknologi skala perintis, R&D bersama serta pertukaran bakat dan program latihan dalam usaha mempercepatkan pemindahan teknologi antara negara,” katanya.
Dari sudut perindustrian, MoU ini membuka laluan kepada integrasi segmen huluan dan hiliran dalam rantaian bekalan sektor O&G, kerjasama dalam projek pelaburan dan penglibatan bersama dalam pembangunan piawaian antarabangsa untuk meningkatkan pengiktirafan global.
Dengan reputasi dalam penyampaian produk dan perkhidmatan berkualiti untuk keperluan industri, Saliran berada pada kedudukan yang kukuh untuk menambah peluang dalam pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan industri perindustrian serantau.- DagangNews.com
standard

