
MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung saman fitnah susulan kenyataan video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.
Muhamad Akmal bagaimanapun tidak hadir di mahkamah hari ini ketika Hakim Datuk Isa Aziz Ibrahim membacakan keputusan berhubung kes berkenaan.
Hakim dalam penghakimamnya berkata, mahkamah mendapati kenyataan yang dibuat oleh defendan menerusi video berkenaan membawa maksud memfitnah plaintif selain melampaui batas kritikan terhadap dasar awam.
Beliau berkata, defendan gagal membuktikan pembelaan komen yang adil dan keistimewaan bersyarat yang dikemukakan bagi mempertahankan kenyataan tersebut.
Menurutnya, mahkamah mengambil kira pengakuan defendan bahawa video itu dirakam ketika beliau berada dalam keadaan marah serta bertujuan membidas plaintif secara peribadi.
“Mahkamah berpendapat video berkenaan membawa unsur fitnah yang serius apabila plaintif digambarkan sebagai individu yang secara berterusan menggugat keharmonian negara,” katanya.
Selain memerintahkan pembayaran ganti rugi keseluruhan RM250,000 dan kos RM50,000, mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal bagi menghalang defendan daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah yang sama atau membawa maksud serupa.
Mahkamah juga mengarahkan defendan memadamkan video berkenaan daripada semua akaun media sosial miliknya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah.
Teresa diwakili peguam Datuk Sankara Nair manakala Muhamad Akmal diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin. – UTUSAN
The post Saman fitnah: Akmal Saleh diperintah bayar RM300,000 kepada Teresa Kok appeared first on Utusan Malaysia.





