Saman parkir luar waktu operasi: Pengguna mahu penjelasan MBPJ

LocalOpinion
15 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saman parkir luar waktu operasi: Pengguna mahu penjelasan MBPJ

KEMUDAHAN parkir berbayar diwujudkan bagi mengurus penggunaan ruang letak kereta secara lebih teratur. Namun, pelaksanaannya perlu selaras dengan syarat yang dimaklumkan kepada orang ramai agar tidak menimbulkan kekeliruan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan pada papan tanda parkir di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), operasi parkir berbayar hanya berlangsung dari Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum adalah percuma.

Waktu operasi pula dinyatakan bermula 8.00 pagi hingga 6.30 petang.

Namun, pengalaman yang saya alami menimbulkan persoalan mengenai pelaksanaan peraturan tersebut. Saya yang bekerja di sekitar Petaling Jaya dikenakan saman parkir walaupun kenderaan diletakkan selepas pukul 6.30 petang.

Lebih menghairankan, saman turut dikeluarkan pada hari Sabtu, sedangkan papan tanda di lokasi sama menyatakan parkir adalah percuma pada hujung minggu.

Keadaan ini bukan sahaja mengelirukan, malah menimbulkan persoalan sama ada berlaku kesilapan dalam penguatkuasaan, masalah pada sistem atau terdapat perubahan dasar yang belum dimaklumkan kepada orang ramai.

Sebagai pengguna, kami tidak mempertikaikan keperluan penguatkuasaan. Malah, tindakan terhadap mereka yang melanggar syarat parkir sememangnya penting bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan penggunaan ruang awam. Namun, penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan secara konsisten serta berpandukan maklumat yang dipaparkan di lokasi.

Sekiranya waktu atau hari operasi telah berubah, notis yang jelas dan terkini perlu dipasang supaya pengguna tidak terkeliru. Sebaliknya, jika maklumat pada papan tanda masih berkuat kuasa, sebarang saman yang dikeluarkan di luar tempoh tersebut wajar disemak semula bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya.

Dalam era pendigitalan, ketelusan dan komunikasi yang baik antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan orang ramai amat penting. Pengguna berhak mengetahui peraturan yang sedang berkuat kuasa dan mengharapkan setiap tindakan penguatkuasaan dibuat secara adil serta telus.

Sehubungan itu, MBPJ diharap dapat menyemak semula pelaksanaan penguatkuasaan parkir di kawasan berkenaan, memberikan penjelasan kepada orang ramai serta memastikan semua maklumat mengenai waktu dan hari operasi dipaparkan dengan tepat.

Langkah ini bukan sahaja dapat mengelakkan kekeliruan, malah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan parkir yang dilaksanakan.-UTUSAN

PENGGUNA RENGSA
Petaling Jaya

The post Saman parkir luar waktu operasi: Pengguna mahu penjelasan MBPJ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved