
KUALA LUMPUR - Tindakan tegas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google berikutan kegagalan syarikat itu menangani kandungan memudaratkan di YouTube, tidak akan menggugat keyakinan pelabur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah menghubungi Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet, Ruth Porat semalam bagi membincangkan isu berkenaan dan Google telah memberi jaminan akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani masalah tersebut.
“Semalam, saya dapat hubungi Ruth Porat sendiri dan dia menjawab dia akan bekerjasama menangani masalah ini.
"Antara yang kita laporkan kepada Google ialah kes perjudian dalam talian, tetapi selepas enam bulan, tiada tindakan diambil.
"Bagaimanapun, saya sudah membangkitkan perkara ini dengan Google dan saya percaya syarikat itu sedang meneliti perkara berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya,’’ katanya, lapor media.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, di sini, hari ini.
Pada 25 November, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta.
Saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan, termasuk berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan, manakala saman kedua berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang.
Bagi setiap saman, MCMC menuntut RM300 juta, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.
MCMC sebelum ini memaklumkan, sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube dari 1 Januari hingga 28 Oktober tahun ini, dengan 74,569 daripadanya atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian. - 27 November, 2026Ganti MAIN
The post Saman RM600 juta MCMC ke atas Google tidak akan gugat pelaburan: Anwar appeared first on Scoop.



