‘Sambut baik titah Raja-Raja Melayu, pihak luar usah campur krisis N. Sembilan’

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 10:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Sambut baik titah Raja-Raja Melayu, pihak luar usah campur krisis N. Sembilan’

SEREMBAN – Undang Yang Empat termasuk Undang dipertikai dan Tunku Besar Tampin menyambut baik titah Raja-Raja Melayu supaya pihak luar tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, seruan itu selaras dengan Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan pertikaian mengenai hak menaiki takhta negeri diputuskan pihak berkuasa mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri berkenaan.

“Bagi Negeri Sembilan, pihak berkuasa berkenaan ialah Undang Yang Empat seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

“Kerajaan Persekutuan, jabatan dan agensinya tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini. Mereka hendaklah menghormati kedaulatan perlembagaan negeri,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menegaskan, Proklamasi di bawah Perkara 10 UUTKNS sudah ditandatangani dan dimeteraikan oleh Undang Luak yang sah sebelum disempurnakan dengan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos 2026.

Menurut mereka, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menerusi Keputusan Bilangan 6 Tahun 2026 bertarikh 15 September lalu menerima Proklamasi itu sebagai sempurna mengikut Perkara 10(2) dan mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakannya serta-merta.

Mereka juga menegaskan peruntukan berkenaan tidak mensyaratkan Proklamasi itu diwartakan dan mana-mana pihak tidak seharusnya menambah syarat yang tidak terkandung dalam UUTKNS.

Dalam pada itu, mereka menyambut baik seruan Raja-Raja Melayu supaya ruang dan masa diberikan kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Sehubungan itu, mereka menyeru Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri supaya mematuhi arahan Menteri Besar serta melaksanakan keputusan MMKN berkenaan tanpa berlengah.

Mereka turut menyatakan pendirian bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan selepas 15 September 2026, berdasarkan tafsiran mereka terhadap keputusan berkenaan.

“Justeru, Pembesar Memerintah menyeru Tuanku Muhriz supaya berhenti melaksanakan fungsi dan kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Besar,” katanya.

Bagaimanapun, mereka menyatakan kesediaan menyambut sebarang ruang perundingan dengan Tuanku Muhriz bagi membolehkan urusan penurunan takhta diselesaikan secara baik, dalam semangat kekeluargaan dan tanpa merendahkan mana-mana pihak.

Mereka berkata, krisis itu tidak seharusnya berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, rakyat Negeri Sembilan, khususnya anak-anak buah, buapak dan Lembaga, diseru supaya bertenang, menjaga tutur kata serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Mereka berharap semua pihak mengutamakan kebijaksanaan dan permuafakatan bagi memastikan kemelut berkenaan diselesaikan melalui saluran yang sah dan tertib demi kepentingan negeri, kesejahteraan rakyat serta kemuliaan institusi diraja. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Sambut baik titah Raja-Raja Melayu, pihak luar usah campur krisis N. Sembilan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved