Sambut Hari Sabah dengan semangat sama seperti Hari Kebangsaan

LocalPolitics
2 Sep 2025 • 4:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, perlu menyambut Hari Sabah dengan semangat patriotik setinggi sambutan Hari Kebangsaan, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Beliau menegaskan tarikh bersejarah Hari Sabah adalah bukti jelas semangat rakyat negeri ini menuntut kebebasan daripada penjajahan sekali gus membina sebuah negeri berdaulat.

“Tema Hari Sabah tahun ini, Untukmu Sabah Tanah Airku, membawa makna mendalam bahawa masa depan negeri ini terletak di tangan kita. Justeru, marilah kita bekerjasama memastikan Sabah terus maju, makmur serta rakyatnya hidup bersatu padu,” katanya.

Menurutnya, sambutan Hari Sabah bukan sekadar ruang untuk mengingati sejarah lampau, tetapi juga wadah menghargai pencapaian yang telah dikecapi serta merancang masa depan lebih baik.

“Generasi muda khususnya perlu memahami erti kemerdekaan, menghargai pengorbanan pejuang terdahulu dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris negeri ini,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Paginatan itu berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Sabah dan Hari Kebangsaan bagi gabungan lima Tadika Kemas di Dewan Mini Sagindai Baru, baru-baru ini.

Pelbagai acara dianjurkan sempena sambutan itu, termasuk pertandingan mewarna, meniup belon dan menghias payung Merdeka. Kanak-kanak tadika turut mendeklamasikan beberapa puisi Hari Kebangsaan dengan penuh semangat.

Abidin memuji Jawatankuasa Penganjur kerana melibatkan penyertaan kanak-kanak yang jelas menampilkan jiwa patriotik.

“Saya cukup teruja melihat semangat patriotik murid tadika ini. Mereka bersemangat menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dengan penuh penghayatan meskipun masih kecil. Tahniah juga kepada ibu bapa kerana menghantar anak-anak ke tadika demi memberi pendidikan seawal prasekolah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan murid agar terus membudayakan sikap menghormati guru serta ibu bapa.

Menyentuh Hari Kebangsaan, Abidin berkata ia membawa makna mendalam kerana mengingatkan kita tentang usaha gigih pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan.

“Tugas kita sebagai generasi penyambung ialah mengisi kemerdekaan dengan sebaiknya. Antaranya, mengekalkan perpaduan masyarakat berbilang kaum tanpa mengira latar agama dan fahaman politik, bekerjasama, menghormati Jalur Gemilang serta menjunjung Rukun Negara,” ujarnya.

Pada majlis itu, Abidin turut meluluskan peruntukan RM1,500 bagi kegunaan SK Sagindai Baru serta pembelian tangki baharu bagi Dewan Mini Sagindai Baru, termasuk pembaikan tapak tangki.

Turut hadir, Guru Besar SK Sagindai Baru Tovin Siong, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, Pengerusi PIBG Tabika Kemas Sagindai Baru merangkap Pengerusi Penganjur Kiwelter Kisang, Ketua Kampung Didimus Jain, Pemaju Mukim Paus Jasni Maston serta pemimpin masyarakat setempat.

 Gambar: Abidin (tengah) bersama kanak-kanak Tabika Kemas dan tetamu lain sempena sambutan Hari Sabah dan Hari Kebangsaan.