
PETALING JAYA: Tambahan RM1 juta peruntukan bagi setiap kawasan Parlimen perlu turut diberikan kepada kawasan diwakili pembangkang bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak dijadikan sebagai ganjaran politik.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, MCA mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu namun peruntukan berkenaan perlu diagihkan secara adil di seluruh negara tanpa tertakluk kepada pendirian politik ahli Parlimen.
Kata beliau, jika peruntukan itu benar-benar bertujuan untuk rakyat, fahaman politik tidak seharusnya menjadi penentu sama ada seseorang wakil rakyat yang dipilih boleh mengaksesnya.
“Perkara ini amat penting kerana ketika Pakatan Harapan (PH) berada di pembangkang, gabungan itu berulang kali menuntut agar peruntukan kawasan Parlimen diagihkan secara adil antara wakil kerajaan dan pembangkang.
“Pada 2021, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH menghasilkan peruntukan kawasan Parlimen yang sama rata dan diinstitusikan untuk semua ahli Parlimen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jeck Seng berkata, peruntukan kawasan Parlimen merupakan sumber awam dan tidak boleh sesekali dijadikan alat untuk memberi ganjaran atau hukuman politik.
Tegasnya, peruntukan itu adalah milik rakyat dan mesti ditadbir secara telus serta adil tanpa mengira parti yang diwakili seseorang wakil rakyat.
“Tambahan RM1 juta itu memberikan kerajaan Madani peluang untuk membuktikan sama ada kerajaan benar-benar komited terhadap prinsip pembaharuan yang pernah diperjuangkannya.
“Jika peruntukan itu benar-benar bertujuan memberi manfaat kepada setiap kawasan Parlimen, maka setiap ahli Parlimen yang dipilih mesti diberikan akses yang sama kepadanya, tanpa syarat politik atau diskriminasi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta secara terus kepada rakyat bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara bagi memastikan bantuan dan projek mendesak dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Anwar menegaskan langkah itu membuktikan komitmen kerajaan yang tidak pernah mengurangkan peruntukan kepada kawasan Parlimen sebaliknya sentiasa mencari ruang menambah bantuan secara terus tanpa melalui birokrasi berlebihan.
Tambahnya, pendekatan berkenaan diambil bagi membolehkan keperluan rakyat di peringkat akar umbi dipenuhi segera, terutamanya dalam aspek bantuan kebajikan, kemudahan asas dan penyelesaian masalah setempat. – UTUSAN
The post Tambahan RM1 juta untuk Parlimen mesti turut dinikmati pembangkang appeared first on Utusan Malaysia.





