
SHAH ALAM, 11 OGOS: Orang ramai dijemput memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor yang akan berlangsung di Stadium Kajang pada 30 Ogos ini.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan sambutan anjuran Kerajaan Negeri itu bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam dengan pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga.
Antara acara yang disusun ialah perarakan dan perbarisan, persembahan badan beruniform, persembahan kebudayaan serta pertunjukan bunga api.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air sebagai acara kemuncak pada sebelah malam.
Menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, program berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.
Orang ramai disaran hadir bersama keluarga bagi memeriahkan sambutan yang dijangka menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh Selangor.
Maklumat lanjut mengenai sambutan itu boleh diperoleh menerusi laman Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.






