Midtown Brasserie perkenal Warisan Malaysia sempena Hari Kebangsaan

Business & Finance
10 Aug 2026 • 3:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Midtown Brasserie perkenal Warisan Malaysia sempena Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Midtown Brasserie memperkenalkan Warisan Malaysia, yang mengetengahkan kepelbagaian makanan dan warisan budaya negara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Program edisi terhad itu akan berlangsung pada 28 Ogos, 4 September dan 25 September 2026, dengan mengetengahkan resipi warisan, sajian dari pelbagai wilayah serta hasil kraftangan tradisional Malaysia.

Pengurus Besar Midtown Brasserie, Till Martin berkata, program berkenaan menjadi platform untuk masyarakat tempatan dan pelancong menikmati kepelbagaian warisan makanan Malaysia dalam suasana yang lebih menyeluruh.

“Warisan Malaysia amat bermakna kerana sebahagian hidangan yang diketengahkan diinspirasikan daripada resipi istimewa ibu para chef yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

“Ini merupakan usaha kami untuk mengekalkan keaslian cita rasa tersebut selain berkongsi warisan kulinari berkenaan dengan para tetamu,” katanya kepada media baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Konservasi, Jabatan Warisan Negara, Dr Farizawati Sabri berkata, kerjasama tersebut sebagai platform yang baik untuk rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa mengenali identiti negara menerusi makanan autentik dan warisan budaya.

Katanya, pameran berkenaan turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat khazanah budaya negara menerusi Heritage Centre dan rangkaian muzium di Malaysia.

Inisiatif berkenaan turut dilihat sebagai usaha sektor hospitaliti dalam menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan makanan dan warisan, selain memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Warisan Malaysia merupakan hasil kerjasama antara pasukan kulinari hotel dan Jabatan Warisan Negara, yang menggabungkan elemen makanan tradisional dengan pameran seni kraf tempatan.

Lebih lapan chef terlibat dalam menyediakan sajian yang diinspirasikan daripada resipi keluarga masing-masing, termasuk hidangan yang diwarisi daripada ibu dan keluarga mereka.

Pada masa sama, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran seni kraf Malaysia yang menampilkan sari tenunan tangan, selendang tenunan, barang kemas fabrik, tekstil blok tangan menggunakan pewarna semula jadi, kraftangan dan permainan tradisional.

Antara sajian yang diketengahkan termasuk Linopot dan Midin Belacan yang mewakili cita rasa Borneo; hidangan Peranakan seperti Itik Tim, Jiu Hu Char dan Ayam Pong Teh, Vazhaipoo Poriyal daripada tradisi masakan India; serta hidangan Melayu seperti Rendang Pucuk Ubi dan Kerutuk Ayam Dara.

Selain hidangan istimewa berasaskan resipi keluarga, pengunjung turut boleh menikmati pelbagai ulam-ulaman, Kerabu Mangga, jeruk buatan sendiri dan sambal tradisional.

Stesen masakan secara langsung pula menawarkan Nyonya Curry Laksa, sup daging Malaysia, Nasi Kerabu serta pilihan makanan panggang seperti stik daging, lamb cutlet, chicken chop dan sate.

Ouzi Kambing Berempah Arab, Bergedil Ayam dan Bergedil Daging, serta pelbagai sajian serantau di Dapur Warisan Malaysia, termasuk Nasi Kukus Beras Wangi, Biryani Ayam Dum, Dhalcha Kambing, Jalfrezi Sayur Campur dan Ikan Amritsari.

Manakala, pencuci mulut pula menampilkan gabungan sajian moden dan kuih tradisional Malaysia, termasuk Kuih Bingka, Kuih ubi kayu, pulut inti dan tart nenas

Pilihan pencuci mulut moden termasuk kek coklat gelap, Pandan Coconut Cake, Passionfruit Cheesecake, Berries Tart, Lemon Meringue Tart dan Strawberry Shortcake.

Pengunjung turut boleh menikmati minuman warisan seperti Penang Ais Tingkap, Ais Gula Apong, Jigarthanda dan Nyonya Cendol yang melambangkan kepelbagaian budaya serta tradisi kulinari Malaysia.

Warisan Malaysia ditawarkan pada harga RM168 bersih bagi dewasa dan RM109 bersih bagi warga emas.

Tempahan boleh dibuat menerusi talian 03-3093 1234 atau emel KULRK-SMB-FBReservation. – UTUSAN

The post Midtown Brasserie perkenal Warisan Malaysia sempena Hari Kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved