
KUALA LUMPUR - Sambutan Krismas di seluruh negara diraikan meriah oleh penganut Kristian dalam suasana harmoni, dengan melaksanakan upacara keagamaan dan tradisi perayaan pada hari ini.
Di KUALA LUMPUR, tinjauan Bernama mendapati kira-kira 1,000 penganut Kristian warga tempatan dan asing menghadiri upacara keagamaan di Church of Our Lady of Fatima, Brickfields seawal 8 pagi bagi meraikan perayaan berkenaan.
Paderi Sebestin Arputharaj berkata upacara sembahyang Krismas di gereja dengan dekorasi serta pokok Krismas yang menjadi tumpuan pelancong itu dijalankan dalam empat sesi bermula malam tadi, sehingga kira-kira 12 tengah hari ini.
"Sambutan Krismas bukan sekadar perayaan, tetapi satu masa untuk memperkukuhkan nilai kasih sayang, keamanan dan perpaduan sesama masyarakat tanpa mengira latar belakang," katanya.
Di SELANGOR, suasana kemeriahan memenuhi Gereja Our Lady of Lourdes di Klang dengan kehadiran keluarga dan sahabat handai berkumpul bagi menghadiri upacara keagamaan di pekarangan gereja yang berusia hampir 100 tahun itu, yang turut dihias indah bagi menambah semangat sambutan perayaan itu.
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Jalla, 67, dari Klang berkata tradisi keluarganya menyambut perayaan itu tetap dijalankan meskipun beliau beragama Hindu.
"Keluarga kami sambut semua perayaan kerana itu adalah semangat perpaduan yang diterapkan dalam negara ini. Setiap perayaan mempunyai kegembiraan tersendiri. Lagipun, ramai ahli keluarga kami yang berkahwin campur," katanya ketika ditemui di pekarangan gereja itu hari ini.
Di MELAKA, beberapa lokasi seperti Perkampungan Portugis dan gereja ikonik bersejarah di Bandar Hilir, Gereja St Francis Xavier dilihat meriah dengan kejadiran penganut agama Kristian sejak awal pagi bagi upacara keagamaan.
Seorang pengunjung, Marilyn Cheah berkata beliau meraikan Krismas di Melaka kerana kebetulan bercuti di negeri itu sebelum menuju ke Pulau Pinang.
"Semalam, saya bertolak dari Johor dan ambil kesempatan singgah di Perkampungan Portugis untuk menziarahi saudara yang tinggal berhampiran. Memang meriah dan kami sama-sama pergi berdoa di gereja berhampiran pada malam tadi selepas itu balik rumah dan makan menu istimewa yang disediakan," katanya. - BERNAMA


