Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 himpunkan budaya, sejarah dan kenegaraan

9 Jun 2026 • 11:33 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sabah bakal menjadi tumpuan apabila Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2026 berlangsung di Kompleks Sukan Likas dari 11 hingga 14 Jun ini, menghimpunkan pelbagai pengisian yang mencerminkan wajah sebenar Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Bertemakan “Bersama Membina Malaysia MADANI”, program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu bukan sekadar medan hiburan dan pameran, malah menjadi platform untuk mendekatkan rakyat dengan sejarah negara, institusi kenegaraan serta kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.

Image from: Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 himpunkan budaya, sejarah dan kenegaraan

Antara tarikan utama ialah Pameran Negara Bangsa yang membawa pengunjung menelusuri perjalanan pembentukan Malaysia, daripada perjuangan kemerdekaan hingga lahirnya sebuah negara berdaulat yang dibina atas asas perpaduan pelbagai kaum, agama dan budaya.

Turut menjadi tumpuan ialah Pameran Raja Kita, yang mengetengahkan peranan institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen dalam memastikan kestabilan serta keharmonian negara.

Pameran itu memberi peluang kepada pengunjung khususnya generasi muda, memahami sejarah dan fungsi institusi diraja dalam landskap pemerintahan Malaysia.

Bagi menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menarik, pelbagai elemen interaktif turut disediakan termasuk permainan berasaskan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR), Metaverse PNM, kuiz kenegaraan, program Kurator Cilik serta eksplorasi pameran yang sesuai untuk seisi keluarga.

Image from: Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 himpunkan budaya, sejarah dan kenegaraan

Dalam masa sama, sambutan kali ini turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan menerusi pameran dan perkhidmatan yang lebih dekat dengan rakyat.

Pengunjung berpeluang melihat aset keselamatan negara secara lebih dekat selain mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan awam, bantuan kerajaan dan pembangunan komuniti.

Antara agensi yang mengambil bahagian termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Tidak hanya tertumpu kepada aspek kenegaraan, sambutan tersebut turut mengetengahkan kekayaan budaya Malaysia menerusi pameran 15 Rumah Kami dan lima Perkampungan Etnik yang mempamerkan keunikan seni bina, adat resam dan warisan masyarakat pelbagai kaum.

Image from: Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 himpunkan budaya, sejarah dan kenegaraan

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hidangan tradisional melalui program FoodUnites yang menghimpunkan gerai makanan daripada pelbagai etnik, selain berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan menerusi Jualan RAHMAH, Agro MADANI, jualan kraftangan serta produk usahawan tempatan.

Image from: Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 himpunkan budaya, sejarah dan kenegaraan

Bagi peminat aktiviti sukan dan hiburan, pelbagai acara menarik turut disediakan termasuk Larian Negara Bangsa, pertandingan E-Sports serta pertandingan Sabah Idol yang menjadi pentas mengetengahkan bakat seni tempatan.

Kemuncak sambutan dijangka berlangsung menerusi Konsert Malam Unity Sama-Sama yang bakal menampilkan artis terkenal tanah air seperti Awie, Jaclyn Victor dan kumpulan Estranged, selain pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.

SMP Peringkat Kebangsaan 2026 terbuka kepada orang ramai dan kemasukan adalah percuma.

Image from: Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 himpunkan budaya, sejarah dan kenegaraan

Penganjuran ini diharapkan dapat menjadi ruang pertemuan rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk saling mengenali, menghargai perbezaan serta mengukuhkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan Malaysia.