Petaling Jaya raikan dua dekad kecemerlangan dengan festival enam hari, himpunkan komuniti, teknologi dan budaya

8 Jun 2026 • 4:08 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Petaling Jaya raikan dua dekad kecemerlangan dengan festival enam hari, himpunkan komuniti, teknologi dan budaya

SEMPENA ulang tahun yang ke-20 sebagai bandar raya, Petaling Jaya bakal diraikan menerusi Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang berlangsung selama enam hari bermula 16 hingga 21 Jun ini.

Menariknya, sambutan kali ini bukan sekadar acara perayaan, sebaliknya menghimpunkan pelbagai program berteraskan ilmu, teknologi, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti dan kebudayaan yang melibatkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, sambutan tersebut menjadi medan untuk mengimbau perjalanan pembangunan bandar raya itu, selain mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kota.

“Dua dekad ini menyaksikan transformasi Petaling Jaya hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pemegang taruh.

"Sambutan ini merupakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan bandar raya ini,” katanya pada Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ.

Image from: Petaling Jaya raikan dua dekad kecemerlangan dengan festival enam hari, himpunkan komuniti, teknologi dan budaya

Menurut beliau, MBPJ akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperkasakan komuniti serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan Petaling Jaya kekal relevan sebagai bandar raya yang mampan, pintar dan berdaya tahan.

Sejak diisytiharkan sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006, Petaling Jaya berkembang menjadi antara pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan dan inovasi terpenting di negara ini.

Dengan keluasan 97.2 kilometer persegi dan populasi mencecah lebih 807,000 penduduk setakat Januari 2024, bandar raya tersebut terus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan Selangor dan Lembah Klang.

Tidak hairanlah pelbagai pengiktirafan berjaya diraih sepanjang tempoh tersebut. Antaranya, Petaling Jaya menjadi bandar raya pertama di Malaysia yang diterima sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC), selain mendapat pengiktirafan sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan MBPJ dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, memperkukuh pembangunan modal insan serta memastikan kesejahteraan dan suara kanak-kanak terus diberi perhatian dalam pembangunan bandar raya.

Sepanjang enam hari sambutan berlangsung, sebanyak 11 program utama dan enam perkhidmatan percuma akan disediakan kepada orang ramai.

Antara acara yang dijangka menjadi tumpuan ialah PJ Learning City Festival 2026 yang mengetengahkan pelbagai aktiviti berasaskan pembelajaran sepanjang hayat termasuk forum pendidikan, literasi digital, pembangunan kemahiran, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan sesi perkongsian ilmu.

Bagi pencinta teknologi pula, PJ Digital 2026 menawarkan pengalaman lebih interaktif menerusi pameran teknologi dan inovasi ICT, realiti maya (VR), pertandingan e-sukan serta pelbagai aktiviti yang bertujuan meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat.

Inisiatif ekonomi kitaran

Dalam masa sama, agenda kelestarian turut diberikan perhatian melalui pelbagai program hijau seperti Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, program Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), kutipan minyak masak terpakai, bengkel kitar semula serta pelbagai inisiatif ekonomi kitaran.

Lebih menarik, sambutan berkenaan turut meraikan kepelbagaian komuniti menerusi festival makanan, persembahan seni budaya, buskers, aktiviti kekeluargaan, program kesihatan, zon kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics serta pelbagai aktiviti khas untuk warga emas.

Kemuncak sambutan bakal berlangsung pada 20 Jun di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui perarakan komuniti melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi strategik.

Image from: Petaling Jaya raikan dua dekad kecemerlangan dengan festival enam hari, himpunkan komuniti, teknologi dan budaya

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, persembahan artis jemputan serta pertunjukan bunga api yang menjadi simbolik kepada dua dekad perjalanan dan pencapaian bandar raya tersebut.

Sebagai penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menyediakan beberapa inisiatif istimewa termasuk tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.

Image from: Petaling Jaya raikan dua dekad kecemerlangan dengan festival enam hari, himpunkan komuniti, teknologi dan budaya

Tidak ketinggalan, MBPJ turut melancarkan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 yang bertujuan mengiktiraf komuniti setempat yang aktif melaksanakan amalan kelestarian dan pembangunan mampan.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pentas hiburan akan menampilkan barisan artis popular tanah air.

Image from: Petaling Jaya raikan dua dekad kecemerlangan dengan festival enam hari, himpunkan komuniti, teknologi dan budaya

Pada malam kemuncak, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani.

Sementara itu, Cherpen bakal membuat persembahan pada 19 Jun, manakala Lan Solo, KOI dan Floor 88 akan menghiburkan pengunjung pada 21 Jun.