Samsung hari ini membuat kejutan dan mengumumkan akan menjadi pemegang saham terbesar syarikat Rainbow Robotics di Korea Selatan, dan akan meletakkan ia sebagai subsidiari dibawah Samsung Electronics. Selari perkara ini, Samsung turut mengumumkan mereka akan terus memacu pembangunan teknologi robot.

Untuk makluman, Rainbow Robotics telah diasaskan pada 2011 yang lepas, dan menjadi yang pertama membangunkan robot yang boleh berjalan dua kaki di Korea. Samsung mengatakan dengan menyatukan kepakaran teknologi robotik Rainbow Robotics, dan juga kelebihan perisian dan teknologi AI oleh Samsung, mereka merancang untuk mempercepatkan pembangunan robot pintar.
Untuk tujuan tersebut, Samsung akan membentuk sebuah pasukan dan pejabat baharu yang melaporkan terus kepada CEO, dinamakan Future Robotics Office. Bahagian ini akan memfokuskan pembangunan robot berbentuk manusia, serta menyasarkan untuk menjadikan Samsung turut menerajui dalam persaingan teknologi robotik akan datang.


