Samsung Foundry Mengurangkan Kadar Pengeluaran Cip DRAM Sebelum Mogok Pekerja 18 Hari

TechnologyBusiness & Finance
18 May 2026 • 8:08 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Samsung Foundry Mengurangkan Kadar Pengeluaran Cip DRAM Sebelum Mogok Pekerja 18 Hari

Pada minggu lepas kami telah melaporkan tentang kemungkinan bahawa para pekerja Samsung Foundry akan menjalankan mogok 18 hari untuk menunjuk perasaan tentang permintaan pampasan yang sepatutnya, melihat bagaimana Samsung mendapat untung durian runtuh kerana pengeluaran cip memori DRAM untuk kegunaan pusat data AI.

Mogok tersebut nampaknya akan bermula pada 21 Mei ini, dan sebagai persiapan untuk berhadapan dengan insiden tersebut, Samsung Foundry telah memulakan proses untuk mengurangkan kadar pengeluaran cip DRAM pada kilang-kilang mereka di Korea Selatan.

Image from: Samsung Foundry Mengurangkan Kadar Pengeluaran Cip DRAM Sebelum Mogok Pekerja 18 Hari

Ia dilaporkan bahawa seramai 43,286 pekerja Samsung Foundry akan menyertai mogok tersebut, yang merupakan hampir separuh daripada jumlah pekerja bahagian pengeluaran semikonduktor syarikat tersebut. Ini merupakan satu isu yang besar untuk pihak Samsung Foundry kerana walaupun mereka mempunyai proses automasi mereka sendiri, sebahagian besar daripada mesin-mesin yang perlu beroperasi untuk mengeluarkan cip DRAM masih perlu dikendali oleh tenaga kerja manusia.

Mengeruhkan keadaan lagi untuk Samsung ialah operasi pengeluaran memori adalah sesuatu yang perlu berlaku sepanjang masa, dan menutup sebahagian besar daripada proses pengeluaran ini akan menyebabkan mereka tidak dapat memenuhi permintaan daripada sektor AI yang kini rata-rata akan memakan hampir kesemua output modul DRAM.

Malah, untuk Samsung Foundry, ia akan mengambil masa kira-kira dua ke tiga minggu sebelum kilang pengeluaran DRAM mereka akan kembali beroperasi sepenuhnya, dan bersama-sama tempoh mogok tersebut, akan menyebabkan mereka tidak boleh mengeluarkan komponen DRAM pada kapasiti penuh untuk kira-kira enam minggu. Ini dijangka akan menyebabkan kerugian sebanyak 1 trilion Won kepada pihak Samsung.