Samsung Electronics merupakan sebuah konglomerat teknologi gergasi global yang bukan sahaja terkenal untuk produk-produk elektronik mereka, tetapi juga untuk membangunkan pelbagai jenis komponen semikonduktor yang digunakan oleh syarikat-syarikat lain. Ini termasuklah komponen seperti cip pemprosesan Samsung Exynos, cip memori dan juga storan Samsung yang digunakan dalam banyak komputer-komputer moden.
Walaupun begitu, Samsung Foundry, anak syarikat Samsung Electronics yang dilihat bertanggungjawab dalam membangunkan komponen-komponen ini nampaknya tidak mempunyai begitu banyak pelanggan sekarang, dan ini menyebabkan mereka menutup sebahagian besar daripada kapasiti pengilangan cip semikonduktor yang menggunakan proses 7nm, 5nm dan 4nm.
Samsung telah memperlihatkan pengeluaran menggunakan proses 3nm mereka yang dinamakan SF3 yang dijangka akan mengeluarkan cip pemprosesan Samsung Exynos 2500 yang akan menguasakan peranti Samsung Galaxy S25 mereka pada tahun hadapan.

Untuk ini, Samsung telah mula membangunkan sebuah pasukan petugas untuk menganalisa keperluan untuk memisahkan Samsung Foundry daripada Samsung Electronics. Proses ini dijangka akan mengambil masa sekitar tiga ke lima tahun untuk memastikan sama ada perkara tersebut benar-benar perlu dilakukan ataupun tidak.
Ia dilaporkan bahawa pengerusi eksekutif Samsung Electronics, Lee Jae-Yong tidak mahukan pemisahan ini untuk berlaku, tetapi akan membenarkan pihak pasukan petugas ini memeriksa semua butiran sehabis baik sebelum membuat keputusan untuk memisahkan kedua-dua bahagian ini.
Persaingan pembangunan proses teknologi dilihat sangat pesat, khususnya pada tahun ini, dimana TSMC kekal syarikat pengeluar cip semikonduktor nombor satu di dunia dengan pelanggan-pelanggan seperti Apple, AMD, Qualcomm dan sebagainya menggunakan teknologi proses 3nm N3 mereka untuk cip pemprosesan terbaru.
Dalam pada itu, Intel juga sedang bersiap-sedia untuk mula membuka proses pengilangan 18A mereka pada pertengahan tahun hadapan. Proses tersebut telahpun mula pengeluaran awal, dimana Intel telah memperlihatkan cip pemprosesan Xeon Clearwater Forest yang merupakan cip pemprosesan pusat data pertama yang akan dibina menggunakan proses tersebut.
Ia dijangka sekiranya Samsung Foundry akan dipisahkan daripada Samsung Electronics, ia akan beroperasi sebagai sebuah syarikat yang tidak berkait dengannya, dan ini nampaknya sedikit sebanyak akan memberi autonomi kepada Samsung Foundry yang baru untuk melakukan apa yang perlu untuk kemaslahatan syarikat.

